Tuesday, April 10, 2012

Easter Day Astro 555: Bahagian 1

Sabtu lalu ada beberapa dokumentari menarik versi History Channel 555 bersempena Easter Day. Saya tak tahu apa itu Easter Day tapi saya tahu sedikit tentang Nabi Isa Alaihissalam. Seorang Nabi mulia yang diutus Allah kepada Bani Israel, sekitar 500 tahun sebelum Nabi Penghabisan, Muhammad SAW.

Nabi Isa AS tidak pernah dipandang rendah oleh mana-mana umat Islam dulu dan selamanya. Umat Islam seluruh dunia mengiktiraf Nabi Isa sebagai Rasul yang mulia, seorang yang tinggi martabat di sisi Allah Tuhan Sekelian Alam.

Umat Islam mengganggap Nabi Isa manusia biasa, Maha Suci Allah daripada tuduhan bahawa Dia mempunyai anak.

Usul mereka menyebut kelahiran Nabi Isa tanpa seorang bapa adalah luar biasa, tetapi bagi Allah yang Maha Kuasa, ia menjadi mudah. Susah lagi daripada pandangan dan akal kita untuk memperjelaskan usul Nabi Adam TANPA emak dan bapa, daripada Isa tanpa bapa sahaja. Apa pula ceritanya kelahiran HAWA tanpa emak? Hanya melalui Adam? Lagi susah!

Ini menunjukkan Isa tanpa bapa adalah small thing (Bagi Allah)

Small thing ini tidak kuat untuk berhujah bahawa Isa anak Tuhan.

Nabi Isa disebut 25 kali dalam Al Quran, kita petik setiap satunya:

Al Quran, Al Baqarah:

[87] Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?

[136] Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu – Yahudi dan Nasrani – membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata”.

[253] Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.

Kita akan sambung petikan semua 25 ayat Al Quran yang menyebut tentang Nabi Isa dalam tulisan akan datang, insyallah.

Al Quran, As Soff:

[6] Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad”. Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir yang jelas nyata!”

Kembalilah kepada Allah, Tuhan Sekelian Alam.

Wallahu'alam, wassalam.


Ir. MUHAMMAD ARKAM
www.arkamonline.com

No comments:

Post a Comment