Thursday, January 21, 2010

Design Fault



Design Fault!

Sesuatu yang amat tidak digemari para perekabentuk untuk didengari. Apatah lagi statement itu dari pengguna atau pelanggan sendiri. Saya yang bukan seorang designer juga terasa...

Tetapi kadangkala pendidikan dan pengetahuan mengenai perkataan ini perlu dipanjangkan untuk kita lebih memahami keseluruhan perkara, bukan hanya melihat kepada keadaan itu dengan mata kita sahaja.

Design fault atau dalam Bahasa Melayu membawa maksud "kecacatan rekabentuk" ditakrifkan sebagai satu KEGAGALAN dalam sesebuah rekabentuk yang telah siap dipasang yang membawa kerugian kepada pemilik bangunan. Jika sebarang rekabentuk yang telah diaplikasikan pembinaannya belum terbukti GAGAL, ia tidak lagi boleh dianggap KEGAGALAN. Terminologi JKR SPK juga masih belum setakat ini mentakrifkan KEGAGALAN REKABENTUK, rujuk SINI.

Rekabentuk adalah nafsu perekanya, ia amat subjektif dan bergantung kepada banyak faktor seperti halangan kos, limitasi bangunan, limitasi kuasa pereka, school of thought, past experiences, kehendak pelanggan, limitasi maklumat dan sebagainya. Adalah tidak adil untuk melihat hasil dan memberi kesimpulan "design fault" sedangkan tiada kegagalan yang dilihat, cuma tidak ikut selera yang memberi komen. Kehendak setiap orang adalah tidak sama seperti nafsunya juga.

Sebagai jurutera, pemikiran analitikal adalah lebih penting daripada kritikal. Kita melihat sesuatu isu dengan pandangan yang berbeza. Dalam keadaan pemilik bangunan tidak suka kepada ujian yang gagal, jurutera pula melihat kegagalan ujian adalah satu faktor penambahbaikan kepada rekabentuk dan satu sebab mencapai continous improvement. Kegagalan ujian adalah baik untuk penambahbaikan, ia bukan sesuatu yang mesti dielakkan.

Thomas Alva Edison (1847-1931) hanya menemui lampu pijar selepas beratus kali cubaan sendiri pada 1880, tidak termasuk cubaan 5 orang sebelumnya sejak 1840. Dunlop menemui konsep pemvulkanan dalam penjara setelah cubaan beratus kali, Graham Bell juga beratus kali menguji sistem telefonnya hingga menemui kejayaan yang pertama.

Ini salah satu pandangan jurutera dalam isu kegagalan. Kegagalan adalah baik untuk penambahbaikan. Jurutera mesti berani menerima kegagalan.

Tapi jangan pula diambil mudah, satu kegagalan sepatutnya mencukupi untuk tujuan pelajaran, lebih daripada satu kegagalan dalam perkara yang sama boleh dianggap membuang masa sendiri dan orang lain.

Menghormati profesionalisme orang lain adalah pendidikan yang diterapkan kepada seorang jurutera, seorang jurutera profesional tidak akan membuat endorsan ke atas dokumen sama yang telah diendorse oleh jurutera profesional lain, dan jurutera rekabentuk tidak akan menyatakan rekabentuk orang lain salah, kalau tak setujupun akan didiamkan dalam hati, ini jurutera yang baik.

Pemikiran analatikal dan kreatif dalam menyelesaikan isu adalah kelebihan jurutera, kita diajar dengan angka dan lukisan, seorang jurutera akan membayangkan dengan segera dalam fikirannya tentang sesebuah perkara yang dibincangkan, terus sebagai objek visual, tak percaya boleh cuba dengan jurutera yang anda kenal.

Jurutera yang baik akan berkebolehan untuk menyelesaikan isu dengan kaedah yang paling praktikal, kaedah praktikal ini kadangkala tidak digemari arkitek (sori aaaaa) dan jurutera bidang lain, perkataan yang paling tepat untuk penyelesaian jenis ini ialah "workability".

Semua kelebihan ini kadangkala diekploit dengan cekap walaupun terpaksa melanggar beberapa perkara. Setelah semua faktor telah diambilkira, jurutera perlu berani mengambil risiko atas justifikasi yang telah dibuat dan bertanggungjawab dengan pilihannya.

Perkara yang dilanggar pula tidaklah hingga merosakkan integriti dan profesionalisme kejuruteraan, tidaklah pula hingga melanggar peraturan undang-undang dan keselamatan.

Kita kena boleh membezakan antara design fault atau bad design. Kedua-duanya tidak boleh disamakan dan tidak boleh dituding kepada orang lain selagi tidak berlaku kegagalan. Rekabentuk adalah universal, walaupun ada kriteria yang ingin membentuk rekabentuk yang sama, ia tetap tidak akan jadi sama.

Jurutera dalam pelbagai lapangan juga manusia, mereka boleh silap dan lemah, sama seperti orang lain.

Sekian, terima kasih.


Ir. MUHAMMAD ARKAM
www.arkamonline.com

No comments:

Post a Comment