Tuesday, February 16, 2010

Air

Hari ini berita penting dalam akhbar dan TV menggambarkan bagaimana cuaca panas di seluruh negara mula memberi kesan kepada takungan air tawar di beberapa negeri. Beritanya boleh di baca di SINI.

Johor antara negeri yang sudah mula membuat catuan air akibat kekurangan bekalan yang amat penting ini. Pasti jika keadaan berterusan akan ada beberapa negeri lain yang akan turut membuat catuan.

Dalam sejarah dunia ini, hanya ada satu tuhan yang mengaku bahawa Dia yang menurunkan hujan, tiada tuhan lain yang mengaku perkara yang sama. Tapi manusia selalunya terlupa sedang dalam menikmati air sehari-harian, bahawa ada kuasa yang menurunkan dan mengukur hujan yang turun dalam kawasan kita.

"Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa. [21]

Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).[22]"
Al Quran, Al Baqarah.

Tiada seorang pun yang ditanya dalam wawancara perihal cuaca panas dan kekurangan air tawar ini yang ingin merujuk kepada lemahnya manusia, sangat bergantung kepada tuhan yang menurunkan hujan dalam mendapatkan air tawar untuk kegunaan harian. Jika keadaan panas tiada hujan ini berlanjutan dalam tempoh yang lebih lama, kepada siapa perlu kita memohon air...? Siapa yang mampu menurunkan air dari langit selain daripada Dia...?

Selain dari itu, tidakkah kamu melihat air yang kamu minum? [68]

Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya? [69]

Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan dia masin, maka ada baiknya kalau kamu bersyukur. [70]
Al Quran, Al Waqiaah.

Dan soalan Allah kepada manusia dalam ayat terakhir Surah Al Mulk seperti berikut:

"Katakanlah lagi: "Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (di telan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?". [30]

Sungguh manusia lemah dan tidak mampu...

Bab pada menyatakan sembahyang minta hujan:
(Dan bermula) Sembahyang minta hujan itu iaitu dikerjakan akan dia pada ketika berhajat manusia kepada tuang hujan daripada Allah Ta'ala dan iaitu seperti sembahyang hari raya dan sunat kemudian di padang bagi segala jemaah mengerjakan dia bahawa membaca khutbah seorang daripada mereka itu akan dua khutbah seperti dua khutbah hari raya melainkan bahawasanya khutbah itu hendaklah tukarkan segala takbirnya dengan istighfar dan hendaklah ia mengadap bagi qiblat pada khutbah yang keduanya...dan hendaklah dikerjakan akan sekelian manusia itu akan seumpamanya padahal mereka itu duduk sekeliannya dan berdoa akan Allah Ta'ala dengan perlahan dan dengan nyaring dan mengucap "amiin" segala manusia atas doanya (apabila) dinyaringkan akan doanya dan berdoa tiap-tiap segala mereka itu bagi dirinya dengan perlahan-lahan ketika diperlahankan oleh khatib..." Manhaj Salam 23.

Sekian, wallahu'alam.

Ir. MUHAMMAD ARKAM
www.arkamonline.com

No comments:

Post a Comment