Saturday, April 30, 2011

Catatan Umrah 20

Falsafah haji dan umrah ini amat penting untuk diambil iktibar bagi mereka yang datang ke sini.

Secara amnya, semua amalan di sini berkait rapat dan terus dengan pengorbanan sebuah keluarga di zaman lalu.

Nabi Ibrahim AS diutuskan Allah sebagai Nabi dan Rasul, berkahwin dengan Siti Sarah tetapi Allah tidak mengurniakan anak hingga Nabi Ibrahim menikah pula dengan jariahnya, Siti Hajar, dengan izin Allah Hajar mengandung dan anak yang lahir dari Hajar dinamai Ismail, juga seorang Nabi.

Manakala dari sebelah Sarah sana kemudian lahir pula seorang anak lelaki dinamai Ishaq, juga seorang Nabi, daripada Ishaq lahir Yaakub yang juga digelar Israel. Nabi Israel.

Daripada Nabi Israel ini lahir semua Nabi selepas itu, dinamakan Bani Israel, anak-anak Israel, anak-anak Nabi Yaakub.

Manakala di sebelah Hajar tadi Ismail menurunkan keturunan Bani Hashim, Abdul Mutallib, Abdullah dan Muhammad, seorang Nabi dan Rasul. Kita pernah tulis hal ini dalam label Lawan Hujah. Silalah baca semula.

Pengorbanan keluarga ini, Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail dijadikan Allah syiar agama ini, agama Nabi Ibrahim, millah Ibrahim Hanif, Muslim, menyerah diri.

Nabi Mulia Muhammad mengajar semula kita semua syariat ini, yang pernah hilang ditelan jahiliyah.
Bila kita melondehkan pakaian dan memakai kain dua keping itu, semua sifat jahat, ego, kedudukan, pangkat, kekayaan, pingat kebesaran, title sewajarnya terlondeh sama.

Dua keping kain itu dalam masa sama mengingatkan kita kain kapan yang bakal baluti kita selepas saja kita mati.

Kemudian kita bertawaf, amalan sejak zaman Nabi Ibrahim as, amalan para Nabi, amalan malaikat di Baitul Makmur.

Kemudian kita bersaei, naik ke Safa dan Marwah mengikuti jejak Hajar berlari ke tempat yang tinggi untuk mencari air dan bantuan di kawasan yang amat tandus. Penat ke sana ke sini akhirnya Hajar akur yang hanya Allah tempat dia sewajarnya bergantung dalam keadaan begitu.

Allah datangkan zam zam dari kaki Ismail yang mulia itu, yang sejak itu telah diminum dan di bawa balik orang dari seluruh dunia setiap hari tapi telaga berkat itu tidak pernah kering. Demikianlah Allah mengkehendaki.

Jika buat haji pula ada amalan melontar dan berkorban, juga berkait terus dengan Nabi Ibrahim dan keluarganya.

Pengorbanan keluarga ini disukai Allah dan diredhainya, maka syariat ini Allah berikan kepada kita sebagai salah satu cara mencari redhanya, melalui Nabi Muhammad SAW.

Baginda mengajarkan kita hal ini, agama Nabi Ibrahim, sungguh besar jasa Nabi SAW terhadap manusia.

Bayangkan jika tiada pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim ini, bagaimana urusan Haji dan Umrah kita sedangkan semuanya berkaitan dengan aktiviti keluarga ini?

Di sebelah keturunan Nabi Yaakub AS tadi, berpecahlah amalan asal agama Nabi Ibrahim ini kepada 2 yang besar, Kristian dan Yahudi.

Mereka tidak akan dapat buat amalan Nabi Ibrahim, moyang Nabi-Nabi mereka juga selagi mereka berada di agama lain selain daripada Islam.

Kita sebagai orang Islam juga janganlah enggan berkorban untuk melakukan amalan agama Nabi Ibrahim ini, yang hanya ada di Tanah Haram.

Datanglah, berkorbanlah. Tinggalkan kesenangan kita di rumah kita, tinggalkan urusan kerja kita buat sementara, keluarkan duit saku dan belanja, sahut cabaran melaksanakan amalan agama Nabi Ibrahim ini.

Kalau kita tak buat pun, berduyun duyun manusia lain sedang buat meninggalkan kita. Allah tidak perlukan amalan kita untuk Dia menjadi kuat. Dia Al Adzim, dia Malikul Mulk, dia sedia Ghaniyun dan Istighna'. Terkaya, Maha Kaya. Belanja kita untuk ke sini tidak akan mengkayakan Allah.

Semuanya untuk diri sendiri, maka datanglah.

Wallahu'alam, wassalam.

via arkam@mobile®

Friday, April 29, 2011

Catatan Umrah 19

Berbanggalah Kaki-Kaki Itu

Berbanggalah wahai kaki-kaki
Yang telah memijak Tanah-Tanah Suci
Di depan Kaabah telah berdiri
Di jalanan Haramain telah sulusuri

Menongkat jasad tegak di Multazam
Berdiri ke Kaabah meminum zam zam
Hajarul Aswad berkuda-kuda menyelam
Di Pancur Emas berdiri bersiram

Berbanggalah wahai kaki-kaki
Bertawaf bersaei berulang kali
Bukan patut meninggi diri
Semua kekuatan Allah yang beri

Di Maqam Rasul berdiri bersaksi
Ber Rasulkan Muhammad, Allah Ilahi
Berehat di Raudhah ketika dinihari
Di tinggal sementara, insyaAllah akan datang lagi

Berbanggalah wahai kaki-kaki
Dipilih hadir diri ke sini
Kepada kaki-kaki yang belum ke mari
Usunglah diri ke sini, sebelum diusung ke perut bumi

Wahai kaki-kaki yang pernah ke sini
Berdoalah semoga semua amal dikabuli
Jika tidak semua usaha tiada erti
Ibadat dibuat seronok sendiri

Ya Allah, Tuhan Maha Kuasa
Sudilah terima kami sebagai hamba
Semua amal soleh dan baik diterima
Amal jahat dan sia-sia pula usah dikira

Robbana tooqabbal minna
Innaka antassami'un 'aliim

Astaghfirullahiladzim

Selamat tinggal Tanah-Tanah Suci
InsyaAllah, kita akan datang lagi.

Wassalam.
via arkam@mobile®

Catatan Umrah 16



Kaabah ini hebat kerana salah satu sebab ialah kita tak jemu memandangnya.

Walaupun binaannya amat ringkas, hanya kiub 4 persegi, tiada kerawang, tiada roman, tiada tiles finish, ruhnyaa menyerap ke hati dan lihatlah waktu mana sekalipun, malam, terik, petang, senja, pagi, tetap nampak cantik.

Inilah binaan paling mulia di dunia, sentuhan Nabi Ibrahim, moyang Nabi Muhammad melalui Nabi Ismail, moyang Nabi Isa, Nabi Musa, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Yusuf, Nabi Yaakub melalui Nabi Ishak.

Allahuakbar.

via arkam@mobile®

Thursday, April 28, 2011

Catatan Umrah 18

Bisnes2 yang tak wajar disupport di Tanah Suci.

Ada beberapa, kalau di Madinah seperti kurang kecuali satu golongan nak menjual minyak wangi 12 botol sedozen dgn harga ratus2, kemudian kalau kita tak nak dia akan turun 50, kendian dia akan turun 30, kendian dia akan tanya berapa nak, kita kata 10 riyal terus dia ok or naik jd 12 atau 15. Harga disyorkan ialah 7 riyal sahaja, jgn tertipu.

Kendian di Mekah, ada Indo yang menawarkan diri untuk 'bantu kita mencium hajar aswad' di dataran kaabah, memang dia cekap dan kuat menyebabkan kita dapat menciumnya tapi kita kena bayar antara 300 hingga 1000 riyal selepas semuanya selesai, janganla tertipu. Dia akan tuntut dan ikut kita ke mana sahaja sampai kita bayar.

Satu lagi ketika tahallul ada jugak org sini yang sewakan gunting, kita nak pakai gunting tu tak sampai seminit tapi nak sewa kepada orang ni tak payahlah, carilah kumpulan yang sedang bertahalul kendian hulurkan kepala, sekali jalan. Tapi pastikan dia tu dah bertahalul sebelum dia menggunting rambut kita.

Kendian say 'syukran'.

Di Jabal Rahmah ada sekumpulan budak2 yang berlakon tak ada tangan untuk jadi pengemis, tak payahla bagi. Tapi pengemis lain yang meminta terpulangla pada budi bicara anda untuk melayan.

Di Arafah ada jurukamera Polaroid offer nak ambil gambar kita dengan unta berhias pun tak payahla layan, amik saja guna henpon kalau takda pinjam member. Jurukamera ni akan snap berulang kali sampai 5 kali untuk satu post kendian charge riyal 20 sekeping, jadilah 100 riyal. Baik beli aiskrim belanja orang.

Di sini kes rempit, ragut, curi, pecah hotel curi barang ni kira takdakla, tu bagusnya hukuman di sini.
Tapi kes me-mark-up over dalam jual beli mmg banyak, sebab keuntungan muamalat ni terpulang kepada ahli muamalat, tanyalah kepada mutawwif anda barang yg anda berkenan nak beli tentang harganya kendian barulah beli.

Kalau dah terlebih anggap sajalah sedekah.

Satu lagi kes yg sgt banyak jadi ialah penukaran slipar. Atau slipar hilanglah mudah cakap.

Anggap saja 'slipar tu dah dihantar ke syurga, nanti ambil balik, aminn'.

Sabar... Sabar... Sabar...

Wallahu'alam.

via arkam@mobile®

Catatan Umrah 17

Antara sebab saya minta datang ke sini ketika usia muda ialah ketika muda akal masih cergas untuk 'menangkap' ilmu berkaitan Haji dan Umrah ini.

Sekali tunjuk ajar daripada Mutawwif sudah memadai untuk bergerak sendiri di Masjidil Haram ini.

Masjid ini amat besar oleh kerana itu mudah sesat. Ia tiada depan belakang seperti masjid lain kerana kaabah berpusat di sini, masjid lain lazimnya ada depan yang mengadap ke kaabah maka mudah dijadikan panduan.

Al Haram ini boleh bersolat di mana sahaja, boleh masuk ke pintu mana sahaja untuk terus solat, tak perlu mencari arah kiblat atau mihrab lagi.

Menjadi kebiasaan kita lihat jemaah sekumpulan akan memakai pakaian seragam dan bergerak dalam pasukan dgn pimpinan seorang mutawwif.

Ada yg pakai safety vest kaler flourescent, ada yang pakai bunga di atas kepala, ada yang memakai tali selempang dan tanda nama ada yang memakai telekung kaler sama, seperti biru, purple, pink, hijau, siap dengan nama dan alamat penuh agensi umrah mereka. Sebab utama? Takut sorang dua daripada mereka tersesat.

"Dan demi negeri ini (Mekah) yang aman damai", At Tiin, ayat 3.

Tak berapa cantik untuk ibadah. Si mutawwif ni akan baca doa dan semua nasyid seperti dalam buku kuat2 dan diikuti oleh jemaah mereka di belakang, memang mengganggu jemaah lain.

Kadang2 beradu suara antara 2 pasukan yang mana lebih kuat.

Tak cantik.

Percayalah, kalau datang dgn usia muda serta fikiran masih cergas, semua itu tidak perlu.

Ibadah sunat (membaca doa) akan jadi haram terus jika menimbulkan gangguan kepada orang lain.

Lawak pun ada, mai la tengok.

Wassalam.

via arkam@mobile®

Catatan Umrah 15

Solat Maghrib di Dataran Kaabah dan maju ke Multazam kali ke 2 alhamdulillah. Sekali lagi imam membaca hujung Surah Al Baqarah. Kemudian solat di Hijir Ismail sebelum ke Rukun Yamani.

Esok kena ulang, ada yang tidak tepat.

Point2 penting di keliling Kaabah perlu dihantar diri ke sana untuk berdoa. Perlu sentiasa ada waspada dalam hati, yang mengabulkan doa ialah Allah, keliling kaabah itu hanya tempat pilihan mustajab doa, seperti di ajar Nabi.

Isyak bersolat di tingkat 3 melihat kaabah ke bawah. Memang sangat hebat kaabah ini. Binaan yang mana Allah suruh kita menghadapnya, bukan menyembahnya.

Perlu bawa diri sendiri ke sini untuk merasainya.

Allahuakbar, wassalam.

via arkam@mobile®

Wednesday, April 27, 2011

Catatan Umrah 14




Ziarah ke Jabal Tsur dan Jabal Rahmah di Padang Arafah. Ustaz ni minta Turki, Eropah, India, gila dia ni.

No comment, no comment.

Wassalam.

via arkam@mobile®

Catatan Umrah 13

Alhamdulillah, hari ini selepas subuh di dataran kaabah saya berpeluang melekap dan mendengar syahdu dan keheningan di Multazam dan berdoa. Tetapi gagal bertahan untuk mengucup hajar aswad kali ke dua dengan usaha seorang diri.

Jelas sekali kejayaan kali pertama dulu kerana berkat ustaz, bukan saya.

Astaghfirullahaladzim.

Bertahan sekira 20 minit, akhirnya mengalah. Banyak faktor yang menolak saya keluar tetapi paling penting, Allah tak izinkan.

Saya anggap saya tidak cukup bersih untuk mengucup sekali lagi batu suci itu.

Wassalam.
via arkam@mobile®

Catatan Umrah 12

Alhamdulillah, subuh ini dapat berjemaah di dataran kaabah di Masjidilharam, yelah kalau kaabah tu Masjidilharamlah, mana ada tempat lain.

Antara tetamu Allah di sini nampaknya ada Ust Akhil Hai dan Mawi serta isteri.

Memang sangat lain suasananya. Bayangkan (kepada yang belum sampai) selama ini kita solat mengadap kiblat di Malaysia, tapi peluang tadi bersolat mengadap kaabah di depan mata. Angkat muka dari tempat sujud sudah nampak, alhamdulillah.

Kaabah sangat tinggi kerohanian yang melekat padanya, sejak zaman Nabi Ibrahim AS sudah manusia bertawaf padanya, masuk ke zaman Nabi Muhammad SAW hingga sekarang, tawaf hanya berhenti ketika banjir dan ketika solat jemaah di Masjidilharam.

Selepas solat sambung semula, insyaallah kekal hingga kiamat.

Tawaf adalah ibadah, kena berwuduk, sebab itu ungkapan 'tawaf kedai', 'tawaf pasar malam', 'tawaf megamall' wajar dihentikan.

Insyaallah sambung, wassalam.
via arkam@mobile®

Catatan Umrah 11

Salah satu sebab dapat mengucup hajarul aswad adalah kerana tenaga muda, dengan izinNya.

Masuk merentasi manusia yang bertawaf kemudian hampir ke penjuru hajar aswad dengan beratus mungkin beribu manusia berebut satu poin kecil yang sama untuk dikucup.

Mereka bukan bersaiz kita, mereka ada tenaga yang kuat dan siku yang tajam, badan yang masam.

Bab siku tajam boleh diblok dan dipotong siku balik, bab masam tu tak tahan, kita pun masam juga tapi masam sendiri boleh bau, masam itu kita tak lalu.

Mereka merempuh dan berasak, cuma kita susah nak jatuh sebab kita dikelilingi manusia lain.

Pakaian mereka pula macam2, jika mereka sedang memakai ihram faham-fahamlah. Jemaah perempuan yang sama naik ada antaranya yang tertanggal tudung, tapi bukan orang kitalah.

Yang nak disebut di sini, tenaga muda. Saya yakin dalam suasana begitu kita tak akan dapat masuk mencelah mengucup hajar aswad ini jika datang ke sini dalam keadaan lemah dan uzur. Selain pastinya pilihan dan izin Allah. Tak dilupakan sedikit 'teknik' dan 'taktik'.

Bersa'ei Safa sejauh 3 kilometer dan Marwah juga menuntut tenaga besar, begitu juga bertawaf yang entah berapa kilometer lagi.

Yang tak menuntut tenaga besar ialah duk di rumah menonton tv ketika usia muda.

Orang muda, yang belum datang, datanglah...

Wallahualam, wassalam.
via arkam@mobile®

Catatan Umrah 10

Alhamdulillah telah disempurnakan satu umrah tepat berakhir jam 1 pagi waktu Mekah pada 16 April 2011.

Masuk melaui pintu Malik Aziz terus menunduk berjalan hingga pinggir tebing sebelum ke dataran kaabah dan mengangkat muka. Tersergam kaabah yang mulia ini di depan mata.

Tak perlu berfikir apa2 air mata pasti mengalir, inilah kiblat yang selama berpuluh tahun di hadapkan muka, berwuduk mengadap kiblat, bersolat mengadap kiblat, menguburkan orang meninggal mengadap kiblat, berdoa mengadap kiblat, tidur mengiring ke kiblat, sekarang, kiblat itu, kaabah ini di depan mata. Mata siapa yang tak akan menangis?

Memandang sahaja kaabah diberikan pahala dan rahmat, kemudian memandang Al Quran dan kemudian memandang wajah ibu bapa.

Bimbingan ustaz telah membantu saya mengucup hajar aswad. Alhamdulillah.

Datanglah sini sendiri dan jamukan mata kita dengan memandang kaabah itu.

Wassalam.
via arkam@mobile®

Doakan Saya.

Alhamdulillah, sejurus pulang menerima berita ini:



Doakanlah kejayaan saya dalam perkara ini.



La haula wala quwwata illa billah.



via arkam@mobile®

Tuesday, April 26, 2011

Catatan Umrah 9

Memakai pakaian 2 helai ini memang... Anda boleh bayangkan. Kadang kadang tertutup atas terbuka bawah, tertutup sana terbuka sini.

Pakaian ini menyelitkan banyak cabaran, ditambah pula cabaran larangan dalam berihram.

Kalau kena cara pakainya, memang nampak cantik, kalau pakai belasah akan nampak sebahagian yang patutnya tak boleh didedahkan.

Malu pun ada. Macam baru balik mandi sungai pun ada.

Elok jangan komen, wallahu'alam.

Sekarang dalam perjalanan ke Mekah, jangkaan tiba jam 9 malam waktu Mekah.

Berikanlah saya kekuatan Ya Allah.

Wassalam.
via arkam@mobile®

Catatan Umrah 8

Hari ini hari terakhir di Madinah dalam ziarah kali ini. Insyaallah akan datang lagi jika ada umur panjang.

Berkesempatan menunaikan Solat Jumaat di Masjid Nabi, kemudian ziarah maqam bagi mengucapkan selamat tinggal kepada Baginda buat sementara waktu.

Alhamdulillah semua urusan Allah permudahkan dan kekuatan yang diberikan amat bernilai. Syukur Allah pilih sebagai salah seorang daripada ratusan ribu orang yang menziarah pada hari ini.

Madinah ditinggalkan untuk ke Mekah, Masjidil Haram dalam perjalanan menaiki bas selama 6 jam.

Berihram di hotel dan berniat ihram di Masjid Bir Ali.

Semoga semuanya dalam pemeliharaan Allah.

Nanti bersambung insyaallah, wassalam.

via arkam@mobile®

Catatan Umrah 7

Malam terakhir di Masjid Nabawi, alhamdulillah imam Isyak pada malam ini melantunkan 3 ayat terakhir surah Al Baqarah dalam rakaat pertama, semoga doa dalam ayat ini diaminkan malaikat dan terus diterima Allah.

Amin.

Besar suka mendengar suara imam secara terus di masjid membaca potongan ayat Al Quran, alhamdulillah.

Bagi yang belum sampai, sukalah saya mengajak dan mendorong tuan-tuan untuk ke sini, usahalah dan uruskanlah, datanglah.

Tidak teringinkah kita bertemu Rasullullah di maqam Baginda? Tak nak perkenalkan diri kita kepada Baginda sebagai umat Baginda?

Tidak mahu bersumpah dan bershahadah terus kepada Rasul yang menjadi Nabi kita? Yang selama ini kita bershahadah dari jauh sahaja.

Marilah, marilah...
via arkam@mobile®

Catatan Umrah 6




Alhamdulillah, pagi tadi ziarah ke Masjid Quba, Bukit Uhud, bukit magnet, kebun kurma, Masjid Qiblatain, dan beberapa masjid yang dinamakan sempena nama sahabat besar di sekitar Madinah.

Dan juga pasar kurma serta melalui kawasan Khandak, lokasi perang Khandak.

Sebelum zohor kembali ke hotel dan bersedia untuk jemaah zohor di Masjid Nabawi.

Suasana dalam Masjid Nabawi sukar dibayangkan dengan kata2. Kesimpulannya, memang Nabi Muhammad sungguh pembawa rahmat ke seluruh alam hingga hari qiamat. Sukar dibayangkan, hanya kerana adanya Baginda seorang, senario seperti ini boleh dilihat di sini pada masa ini.

Bila masuk ke dalam masjid, kita boleh terleka sekejap saja rasa, tetapi 3-4 jam dah berlalu.

Malah untuk mendapatkan tempat di Raudah atau saf pertama belakang imam, kena awal 2 jam tiba buat masa ini, dengan rezeki insyaallah Allah izinkan.

Kalau sejam awal alamat solat belakang2. Nak dapat duduk di hudud masjid tiang hijau tu pun memang tak lepas.

Bolehla lepas, tapi rasa tak patut melangkah berpuluh malah beratus jemaah lain hanya untuk kita smpai di kawasan itu, rasa malu. Mai lambat, nak duduk tempat best2! Tapi tu sejam awal.

Lain kali mai 2 jam. Insyaallah dapat.

Bila dah masuk terlalu dalam ke masjid, rezeki juga nak kekal sampai bersolat di situ. Belum tentu, wuduk boleh terbatal dan akibatnya, nun jauh berjalan nak ke tempat wuduk, bila kembali, sorry.

Marilah sini ketika muda, ketika itu lebih cergas, secara logiknya.

Wallahu'alam.
via arkam@mobile®

Catatan Umrah 5

Seperkara menarik tentang suasana di Masjid Nabi ini ialah orang-orangnya.

Mereka dicungkil datang dari setiap tempat, setiap bangsa, setiap warna kulit, setiap jenis pakaian, setiap negara, setiap ceruk kampung, setiap kerjaya, setiap lapisan umur, semua ada.

Itu baru penampilan fizikal dan belum lagi berkaitan dengan cara beribadah. Macam macam ada.

Walaupun dalam kepelbagaian yang maksima itu, kiblat mereka satu.

Nabi mereka satu, malah kalau di musim haji, tempat dan masa bertemu mereka satu, 9 Zulhijjah. Tak ada mana-mana mazhab yang kata selain daripada itu.

Dan kepelbagaian ini tidak mengundang perbalahan di sini, tak nampak sesiapa pun berbalah, berebut tempat di Raudhah sikit2 ada...

Nak kata diri sendiri saja betul dan dalam masa sama menyalahkan cara ibadat orang lain, tak ditemui di sini.

Semua jemaah boleh terima Imam Masjid Nabawi ini tak baca basmalah dengan kuat di pangkal Fatihah dalam solat, semua boleh terima Imam Masjid Nabawi ini tak baca qunut di solat Subuh.

Marilah ke sini. Marilah.

Wallahu'alam.
via arkam@mobile®

Monday, April 25, 2011

Catatan Umrah 4




Kemuliaan Masjid Nabi di Madinah ini diketahui semua orang, dengan beberapa kalimah Baginda yang disebut ribuan tahun dahulu sahaja telah menggerakkan ekonomi Madinah ini dari masa dulu hingga kiamat.

Arab Saudi tidak perlu berkempen Tahun Melawat Saudi untuk menarik pelancong\penziarah, cukup dengan sabda Nabi mulia itu, Madinah menjadi kota dikunjungi jutaan orang sehari-hari.

Walaupun urusan Haji semuanya di luar Madinah, namun, sebanyak mana yang mengerjakan Haji setiap tahun, sebanyak itulah orang yang mengunjungi Madinah pula, pendek kata, sesiapa yang ke Baitullah, akan tetap hadir ke Madinah walaupun tiada satupun urusan berkaitan Haji di sini.

Sebabnya? Kerana jasad suci Nabi ini, dihadiahkan kepada tanah Madinah yang banyak berjasa kepada perjuangan Baginda. Maka Madinah makmur semakmurnya.

Begitulah kesan tinggalan seorang Nabi, baginda tidak meninggalkan harta kepada kita, Baginda tinggalkan warisan, yang daripada warisan itu, menjadi harta orang ramai pada ketika ini.

Sebut saja semua industri yang halal di dunia ini, semuanya ada di Madinah dan Mekah. Penerbangan, perhotelan, makanan, binaan, perubatan, farmasi, pelancongan, pakaian, ternakan, pertanian, teknologi komunikasi, tukaran mata wang, kenderaan, arkitektur, kejuruteraan, pembungkusan, kiriman, logistik, perbankan, pengangkutan sewa kenderaan, peruncitan, tekstil, mainan, aksesori, Allahuakbar.

Urusan di atas membuka jutaan peluang pekerjaan di 2 Tanah Haram malah seluruh tempat di seluruh dunia.

Pendek kata, Mekah dan Madinah, walaupun berada di Rantau Arab ini, ia menggerakkan ekonomi rantau lain di seluruh dunia!

Benarlah Nabi kita ini pembawa rahmat ke seluruh 'alam, hingga akhir dunia.

Wallahu'alam, wassalam.

via arkam@mobile®

Catatan Umrah 3

Alhamdulillah, diberi kekuatan untuk masuk dan bersolat di Masjid Nabi.

Masuk melalui pintu King Fahd dan terus ke Raudhah, berkesempatan bersolat sunat di depan mihrab di Raudhah sebelum beratur di maqam Rasullullah SAW.

Tunjuk ajar ustaz banyak membantu, terima kasih.

Tangisan pasti mengiringi kepada majoriti penziarah, terutamanya yang kali pertama. Mengenangkan seorang Nabi pemimpin ummah ada di depan mata.

Keadaan berasak2 di sini satu kemestian, dalam pada itu sempat berfikir, dalam seramai itu yang bertemu dan mengucapkan salam kepada Rasullullah, akan camkah Rasullullah kepada kita? Maksud di sini, apa specialnya kita dan ibadah kita hingga kita diingati oleh Nabi mulia ini?

Sabda Nabi "Barangsiapa menziarahiku selepas ketiadaanku, seolah-olah dia menziarahiku ketika aku masih hidup"

Tak mahu kita bertemu insan mulia ini? Yang daripadanya seorang, lahir jutaan manusia yang dibimbingnya melawatnya setiap hari. Yang berselawat kepadanya setiap masa.

Jika tanpa Muhammad, kita tiada harga. Jasa besarnya terhadap dunia dan isinya tiada terbanding.

Allahumma solli 'ala Muhammad, wa 'ala ali Muhammad.

Wallahualam, amin.

Wassalam.

via arkam@mobile®

Catatan Umrah 2

Alhamdulillah,

Sekarang tiba di Hotel Fayroz Shatta, Madinah setelah melalui perjalanan dari Kuala Lumpur bertransit hampir 30jam.

Bermusafir selama itu menuntut kekuatan fizikal, sebab itu perkara seperti ini wajar dilakukan ketika muda. Secara tabiinya, muda lebih kuat.

Umur muda pula subjektif, bergantung kepada kekuatan fizikal selalunya. Kalau umur 30 tapi terbaring setiap hari takkan sama dengan umur 70 tapi masih bersilat dan bergagah-gagahan.

Melihat orang lebih tua bersama-sama dalam perkara ini, terutama dari Pakistan, India dan Bangladesh menimbulkan banyak rasa, mereka ini keluar dengan kelengkapan masak, periuk belanga, ada yang membawa anak, ada yang dari kampung pedalaman, ada yang tak tahu membaca pun, mereka siap berihram untuk menuju Mekkah, dengan penuh semangat, walaupun ada yang terbongkok bongkok akibat terlalu tua.

Di Malaysia kita mewah bekerja, tapi jarak jauh menyelit satu ujian lagi.

Mereka jika mampu ada yang menaiki kapalterbang, ada juga yang sekadar berjalan kaki berbulan bulan, kerana tiada saraan.

Mereka berbuat kapalterbang dan airport seperti kampung mereka, faham-fahamlah... Itu mereka.

Kita? Usahalah menabung dan berangkat datang, doakan saya selamat dan diterima ibadah. Diampun dosa.

Insyaallah akan ke Masjid Nabawi sebentar lagi.

Wallahu'alam, wassalam.
via arkam@mobile®

Catatan Umrah 1

(Prepared Earlier)_12 April 2011.

Ketika menaip ini saya sedang duduk di luar Terminal Jeddah. Jam 1245 tgh malam, menghabiskan pejalanan dari Pulau Pinang, KL, transit di Bahrain dan seterusnya di Jeddah sekarang.

Insyaallah dengan izinNya, saya akan meneruskan perjalanan ke Madinah, sehingga Jumaat sebelum ke Mekah.

Ini perjalanan umrah pertama bagi saya, dan suka saya ingin kongsikan, untuk dijadikan sedikit semangat bagi sesiapa yang masih belum pergi. Malah, semua tulisan berhubung Saya Datang, walaupun dirujuk kepada diri sendiri, saya yakin, itulah yang berlaku dalam kalangan kita.

Ini kerana urusan umrah sering dilihat urusan orang tua2. Memang betul, sebaik menjejak kali di KLIA pagi tadi, golongan ini yang memonopoli.

Ketika sampai di Bahrain sebagai transit. Makin ramai golongan ini. Baru kita akan nampak Islam daripada dunia yang lain.

Kita hanya mengenali Islam dan orang Islam Malaysia, kita yang tak pernah ke perhimpunan orang Islam ini, akan sedar bahawa orang Islam di Malaysia sangat kecil berbanding dari negara lain.

Rakan baru seorang ustaz tahfiz muda membuka mata saya, beliau belajar tahfiz di Pakistan, sekarang boleh berbahasa Pakistan Urdu, Bangladesh, Inggeris, Perancis dan Arab, begitu mudah bagi beliau bercampur dengan orang di sini. Menegur orang dengan selamba, bersembang dan berbicara penuh ramah, seperti di kampung sendiri.

Jangan sangka Bahasa Inggeris penting bagi urusan sebegini, kita silap. Setakat sekarang, bahasa yang penting dalam perjalanan seperti ini ialah Bahasa Urdu Pakistan.

Bukan tulisan ini hendak mempoyokan diri, mintak simpang dan mintak jauh, saya belum pun menjejak kaki di Madinah dan Mekah ketika menulis ini, baru sampai penjuru sini. Masih jauh.

Saya minta ampun daripada Allah jika berniat demikian.

Yang ingin diberitahu, kita di Malaysia tak boleh bersenang senang berkerja dan mengumpul harta sahaja, sedangkan untuk berbelanja ke jalan ini kita mengelat.

Semoga Allah memilih kita untuk menjadi tetamuNya.

Akan bersambung, insyaallah.

via arkam@mobile®

Monday, April 11, 2011

Saya Datang, InsyaAllah.

Ya Allah,

Saya datang

Dengan izinMu



Terimalah saya yang banyak dosa ini

Yang jahil ini

Yang lemah ini



Pelihara saya

Lindungi saya

Cukupkan saya

Mudahkan semua urusan saya

Selamatkan saya

Redhokan saya



Beri saya ampun

Beri saya ikhlas

Beri saya redho



Hapuskan dosa

Tutupkan lemah

Redhokan syurga



Terimalah amalan saya

Hapuskan kejahatan saya



Ikhlaskan saya dalam hidup saya



Allahuakbar



Labbaika, labbaika.



Amin.

via arkam@mobile®

Monday, April 4, 2011

NBCT 05 April 2011


Ir. MUHAMMAD ARKAM
www.arkamonline.com

Saya Datang Bhg 3

Ya 'Adzim,

Saya nak datang



Tapi saya jahil, jahil



Selalu lengah lalaikan solat

Tak tahu semua sunat haiat

Dalam solat terlupa pelbagai tempat

Sering solat sorang bukan ditempat iqamat



Keliru duduk iftirash dan tawaruk

Perbuatan macam solat tapi hati menjauh

Nampak ada sujud dan ada rukuk

Tapi dalam hati banyak tak khusyuk



Puasa seperti yg lain puasa

Bukan kerana takwa tapi kerana budaya

Mungkin seronok petang Ramadhan meronda

Sungguh, dapat hanya lapar dahaga



Saya kedekut wakaf dan derma

Alpa hal akhirat duk tumpu hal dunia

Sekarang saya yg jahil ini hendak ke sana

Tolonglah terima tolonglah redha



Sudilah kiranya dianggap hamba

Kalau bukan hamba, saya tak ada apa-apa

Sembunyikan aib, ampunkanlah dosa

Saya sgt lemah, tak akan berdaya.





via arkam@mobile®

Saya Datang Bhg 2

Ya Ghaffar
Saya nak datang
Saya lambat, maafkan saya

Dulu saya sibuk belajar
Selepas belajar saya bekerja
Masih bekerja sampai sekarang

Sudah berbelas tahun
Baru nak pegi
Saya lambat...
Saya minta maaf

Saya beli handphone ribu-ribu
Saya beli spot rim beribu-ribu
Saya pasang tinted kereta beribu-ribu
Saya beli aircond rumah beribu-ribu
Saya beli TV LCD rumah beribu-ribu
Saya beli LCD kereta, beribu-ribu
Saya beli barang sendiri beribu-ribu
Saya melancong, beribu-ribu
Saya tukar-tukar kereta, beribu-ribu

Saya tau saya dah lama wajib pergi
2 TV LCD saya sudah cukup satu kali pergi
Kalau semuanya dicampur, lebih daripada cukup
Saya lambat, maafkan saya.

Maafkan saya
Tolong terima saya di sana
Di sana saya tiada sesiapa
Tolong terima saya

Tolong maafkan saya
Saya lewat
Saya leka, saya lalai
Maafkan saya.

Sunday, April 3, 2011

Ade Deme Kisooh?


Pagi tadi masuk berita pagi yang Majlis Fatwa akan bermusyuarat untuk membincangkan isu poco-poco punya tarian dari segi halal-haramnya dan dijangka akan menfatwakan hukum berkenaan, sedangkan Perak telah mendahului menfatwakannya.

Tapi, keputusan Majlis Fatwa akan datang ni adakah akan menyuntik praktikalnya? Wallahu'alam.

Saya mengatakan demikian kerana ada Fatwa daripada Majlis Fatwa sebelum ini yang sampai hari ni masih lagi dilanggar-belasah tanpa perasaan, tak ada kerisauan di hati mereka, hukuman? Jauh sekali.

Paling baik contohnya:

Merokok Dari Pandangan Islam

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.

Keputusan (English): Smoking From The Perspective Of Islam

Decision:
The 37th Muzakarah (Conference) of the Fatwa Committee National Council of Islamic Religious Affairs Malaysia held on 23rd March 1995 has discussed on smoking from the perspective of Islam. The Committee has decided that smoking is prohibited in Islam because it is harmful.
 
Rasanya, sebagai orang awam yang dhaif ini, saya lihat isu ini bukanlah sangat susah untuk dihadam, lebih baik kita khususkan pada isu lain, nampak lekeh sangat kita, menjaja isu picisan sampai ke peringkat yang begini jauh.
 
Carilah isu lain, saya tak mau habaq, saya tak pandai, carilah sendiri...
 
Wallahu'alam.
 
Ir. MUHAMMAD ARKAM
www.arkamonline.com

Saturday, April 2, 2011

Lawan Hujah Bhg 18 (5 Perbandingan)

Pertama: 3 tahun atau 7 tahun?

2 Samuel 24:13,"Kemudian datanglah Gad kepada Dawud memberitahu kepadanya dengan berkata kepadanya; 'Akan datangkah menimpa engkau TUJUH tahun kelaparan di negerimu? Atau mahukah engkau melarikan diri 3 bulan lamanya dari hadapan lawanmu, sedang mereka itu mengejar engkau?"

1 Tawarikh 21: 11-12,"Kemudian datanglah Gad kepada Dawud memberitahu kepadanya dengan berkata kepadanya; 'Beginilah firman Tuhan: Mestilah engkau memilih, TIGA tahun kelaparan atau engkau melarikan diri 3 bulan lamanya dari hadapan lawanmu, sedang pedang musuhmu itu menyusul engkau?"

Kedua: Lapan tahun atau lapan belas tahun?

2 Tawarikh 36:9Yohakin berumur LAPAN tahun pada waktu ia menjadi raja dan tiga bulan sepuluh hari lamanya ia memerintah di Jurusalem. Ia melakukan apa yang jahat di mata Tuhan.

2 Raja Raja 24: 8Yohakin berumur LAPAN BELAS tahun pada waktu ia menjadi raja dan tiga bulan lamanya ia memerintah di Jurusalem. Nama ibunya ialah Nehusta binti Elnathan, dari Jurusalem.

Ketiga: 700 atau 7000?

2 Samuel 10:18Tetapi orang Aram itu lari dari hadapan orang Israel, dan Dawud membunuh dari orang Aram itu *700* ekor kuda dan 40,000 orang pasukan BERKUDA, Sobakh, panglima tentera mereka, dilukai sedemikian rupa, hingga ia mati di sana.

1 Tawarikh 19:18Tetapi orang Aram itu lari dari hadapan orang Israel, dan Dawud membunuh dari orang Aram itu *7000* ekor kuda dan 40,000 orang pasukan BERJALAN KAKI, Sobakh, panglima tentera mereka, dibunuhnya.

Keempat: 2000 atau 3000?

1 Raja Raja 7:26Tebal 'laut' itu setapak tangan dan tepinya serupa piala, seperti bunga bakung yang berkembang. "Laut" itu dapat memuat *2000* bat air.

2 Tawarikh 4:5Tebal 'laut' itu setapak tangan dan tepinya serupa piala, seperti bunga bakung yang berkembang. "Laut" itu dapat memuat *3000* bat air.

Kelima: 4 ribu atau 40 ribu?

2 Tawarikh 9:25Sulaiman mempunyai juga *4,000* kandang untuk kuda-kudanya dan kereta-keretanya dan 12,000 orang berkuda, yang ditempatkan dalam bandar-bandar kereta dan dekat raja di Jurusalem.

1 Raja Raja 4:26Lagi pula Sulaiman mempunyai kuda *40,000* kandang untuk kereta-keretanya dan 12,000 orang berkuda.

Kembalilah kepada kebenaran yang terbentang... Kami menunggu anda.

Wallahu'alam, wassalam.
via arkam@mobile®

Friday, April 1, 2011

Saya Datang BHG 1

Ya Malik
Saya nak datang
Ke dua rumah yang mulia itu
Yang cantik indah
Yang suci bersih
Yang harum nyaman

Tapi saya kotor
Kaki saya berselut
Badan saya bersopak
Mulut saya berbau
Mata saya berpenyakit
Telinga saya bernanah

Baju saya pula lusuh
Seluar saya camping
Kasut saya bertampal
Rambut saya berkusut

Dan saya tak bawa apa-apa buah tangan
Saya tak bawa bekal
Saya tak bawa wang
Saya tak bawa harta
Saya berkelana, Saya miskin

Saya nak tumpang di rumah Tuan
Mandi, bersihkan kotoran badan
Berubat mata, telinga, mulut, kaki, tangan

Nak tumpang makanan Tuan
Supaya sembuh semua sakit dalam
Yang ada, yang nampak dan tidak

Tumpangkanlah saya barang sekejap
Tidur di lantai pun tidak apa
Jangan sakiti saya
Saya takkan mampu

Benarkan saya memakai pakaian baru
Benarkan saya melihat isi rumah Tuan
Janganlah halau saya sebelum habis perjalanan

Maafkan saya, saya menumpang...

Aku Bukan Pejalan Di Karpet Merah Itu

Aku tidak perlukan kad undangan
Tidak perlukan karpet hamparan
Tidak perlukan orang mewakilkan
Tidak perlukan iklan siaran

Cukup hanya satu pesan
Tarikh, masa, tempat, dimaklumkan
Tak perlu sedia goodies bag dan buah tangan
InsyaAllah sampailah aku, jika Allah izinkan.

Mungkin aku tidak seterrer Hang Jebat
Tidak sepantas bunyi guruh kilat
Tiada sesiapa boleh dibandingkan

Tak apa
Manusia
Mari kita gembira semula
Suka kita, bila kita buat-buat lupa.

:-)

Wassalam.

Secebis Kisah Mereka

Sesiapa yang menonton History Channel semalam mungkin sama seperti saya yang tertarik dengan kisah Nabi Musa merayau-rayau bersama Bani Israel di sebuah gurun berdekatan dengan Palestin, kerana melarikan diri daripada Firaun yang ingin membunuh mereka semua, ini versi History Channel semalam.

Versi ini mengatakan Firaun mengarahkan anak sulung daripada setiap keluarga dibunuh, maka ibu Nabi Musa menghanyutkan Musa ke dalam sungai dan akhirnya sampai di istana Firaun, kisah ini ada dalam kitab terdahulu, Bible dan Taurat versi Ibrani, kata mereka.

Nabi Musa dikatakan mereka menyeberangi sebuah laut dan sampai ke seberang gurun sana seterusnya hidup berkelana merayau-rayau selama 40 tahun.

Nabi Musa dan pengikutnya juga pada masa itu dikatakan di beri makan "manna", versi mereka, bentuk "manna" tu tak dinyatakan mereka. Kemudian Musa dan pengikutnya diarahkan Allah untuk memasuki sebuah negeri, dan tentulah negeri itu Israel, kata mereka.

Kaum Nabi Musa itu juga dikatakan mereka dalam rancangan semalam dihina dan dimurkai Tuhan kerana menyembah sebuah patung.

Semua perenggan di atas adalah daripada versi mereka, kitab mereka... Jangan salah faham.

Apa yang ingin saya nyatakan ialah, Al Quran memberikan gambaran jelas tentang perkara ini...

Al Quran, Al Baqarah:

[47] Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).

[48] Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.

[49] Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.

[50] Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.

[51] Dan (kenangkanlah) ketika kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah ia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah ia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri).

[52] Kemudian sesudah itu kami maafkan kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur.

[53] Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan yang salah), supaya kamu mendapat petunjuk.

[54] Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Wahai kaumku! Sesungguhnya kami telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.

[55] Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”. Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.

[56] Kemudian kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur.

[57] Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”, (serta Kami berfirman): “Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.

[58] Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: “Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ‘ Ya Allah ampunilah dosa kami ‘; supaya kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik”.

[59] Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka).

Memang kekal mereka di negeri itu hingga sekarang (setelah berapa kali dihalau dan diusir), sebahagiannya menjadi sangat jahat, sama seperti pada zaman Nabi-Nabi sebelum ini.

Al Baqarah MEMBONGKAR kisah Yahudi dan kejahatan mereka. Sepatutnya kita sebagai orang Islam paling kurang sekali seumur hidup, mengkhatam tafsir secara berguru untuk surah ini.

Boleh baca seterusnya di SINI.

Wallahu'alam.

Ir. MUHAMMAD ARKAM
www.arkamonline.com