Showing posts with label UMRAH. Show all posts
Showing posts with label UMRAH. Show all posts

Friday, May 6, 2011

Pakej UMRAH 2011



Sukacita saya mengesyorkan pakej umrah yang saya ikuti untuk sesiapa yang berminat dan tercenderung untuk melaluinya. Sila klik imej untuk gambar yang lebih besar.

Sila hubungi talian dalam poster berkenaan dan maklumkan sumber maklumat diperolehi daripada blog ini atau nyatakan nama saya sebagai kredit.

Bagi yang ingin mendapatkan penjelasan lanjut boleh terus email kepada saya arkam@engineer.com atau melalui FaceBook saya Arkam Munaaim.

Semoga setiap usaha kita mendorong orang lain ke arah kebaikan mendapat pahala sepunuhnya sama seperti orang yang membuat kebajikan itu.

Terima kasih, wassalam.

Ir. MUHAMMAD ARKAM
www.arkamonline.com

Wednesday, May 4, 2011

Catatan Umrah 27-Akhir.


Bahagian Akhir.

Rasanya cukuplah 26 tulisan berhubung umrah yang saya lalui kali pertama ini. Suka nak diberitahu ini adalah pengalaman peribadi dan mungkin akan berbeza dengan orang lain.

Suka juga nak diberitahu ini untuk panduan dan kongsian sahaja, bukan niat nak menunjuk saya dah pergi umrah orang lain belum, saya berlindung dengan Allah daripada bunga-bunga perasaan begitu.

Ramai lagi rakan saya yang diketahui belum lagi menunaikan fardzu umrah kali pertama, moga tulisan ini akan menjadi pendorong kepada mereka.

Kemudian kita naik taraf ke fardzu haji pula secepat mungkin, insyaAllah.

Saya syorkan buku 'Hikmah Dan Fadhilat Haji, Umrah dan Ziarah' terbitan Darul Nu'man berharga RM 20 karangan Muhammad Zakaria sebagai panduan asas mengerjakan ibadah ini selain kelas teori dan agama yang boleh diperolehi di tempat anda.

Tiada apa yang saya harapkan daripada semua tulisan ini selain menyuka Allah akan ia dan menerima Dia akan segala pekerjaan baik saya di sini manakala pekerjaan sia-sia dan dosa diampun serta tiada dihisab.

Terima kasih kepada semua yang sedang berkorban untuk pengorbanan saya ini yang mana tidak perlulah saya nyatakan setiap satunya. Terima kasih.

Semoga Allah memberi ampun kepada kita dan sentiasa menyinari kita dengan nurNya, dalam redhaNya kepada kita dan dihimpunkan kita semua ke kampung asal-usul moyang kita Nabi Adam AS dan dijauhkan kita semua daripada seksaNya, amin.

Saya kembali ke Malaysia dengan azam akan datang lagi ke dua Tanah Suci ini dengan izinNya seberapa cepat dan seberapa kerap yang boleh sepanjang hayat saya.

Bukalah akaun Tabung Haji dan buat pendaftaran Haji dengan segera, kerana itu jalan utama bagi menunaikan Haji di Malaysia. Kemudian simpanlah sekurang RM100 sebulan dan dalam masa kurang 5 tahun menyimpan kita sudah boleh berumrah. Setiap gandaan simpanan ini akan memendekkan waktu sehingga separuh. Berusahalah.

Saya tinggalkan siri tulisan ini dengan soalan, andainya kita hidup di zaman Rasullullah, agaknya kita akan tergolong dalam golongan mana? Abu Bakar? Abu Talib?, Abu Lahab?

Lepas jawab, tanya balik dalam hati, 'betulkah?'

Sudah terimakah kita akan semua ajaran, anjuran dan arahan Nabi SAW?

Ada lagikah ajaran, anjuran dan arahan Baginda yang masih kita tangguh?

Astaghfirullahil'adzim. Semoga Allah mengampunkan kita semua atas semua kelalaian kita.

Terima kasih semua kerana sudi baca catatan-catatan kosong ini, minta maaf andai ada kelemahan dan kekurangan dalam penerangan saya dalam blog.

Berazamlah untuk membawa diri kita ke Tanah-Tanah Suci itu.

Robbana taqobbal minna
Innaka antassami'un aliim.

Walhamdulillahi Robbil 'Alamin,

Amin Ya Robbal 'Alamiin.

Wallahu'alam, wassalam.

Terima kasih.

TAMAT.

via arkam@mobile®

Catatan Umrah 26

Alhamdulillah.

Ilmu dan persediaan kita ke Tanah Suci sedikit sebanyak diperlukan. Tanyalah orang yang mengetahui tentang ibadah ini sedalam-dalamnya, hingga mendapat gambaran sejelas-jelasnya tentang pakej ibadah ini.

Bermula dengan niat, pakaian, pantang larang, tawaf, saei, tahallul, ketahui juga miqat-miqat, sunat-sunatnya, strategi dan teknik, kesilapan awam, perkara membatalkan, perkara tambahan, sejarah dan motif, apatah lagi ibadah asas solat, wuduk, dsb.

Jangan sampai blur sangat "Aku dah abis tawaf ni, nak mula saei di Bukit Safa nak kena naik bas kat mana pulak?" Abissssssss.

Apabila sampai di sini, anggap kita dalam mazhab yang betul, bila lihat orang lain buat ibadah cara yang pelik berbanding mazhab kita, sebutkan dalam hati, 'itu mazhab dia, aku tak tau mazhab dia, dia juga betul'

Tapi kita kena la mendalami dan mengaji mazhab kita sendiri dalam-dalam jugak.

Jangan mendengus, jangan mengecap, jangan menghina, jangan mengeluh, jangan buat muka bosan, jangan menyesal, jangan anggap diri dah pandai semua, orang lain buat semua salah aku saja betul.

Jangan berkasar, jangan pandang orang lain hina, sejelik mana pun perbuatan orang lain di sini, jangan marah, jangan tegur, kalau ada lintasan hati yang jahat2, potong cepat2 dengan istighfar dan berdoa.

Jangan komplen, jangan tinggi suara, jangan bergaduh berebut tempat, jangan utamakan diri sendiri, jangan pikir perut sendiri saja.

Jangan menghina sesiapapun, orang lemah, orang cacat, orang jelik, orang pelik, orang kotor, orang busuk, orang salah, orang kasar, orang besar, orang pendek, orang hitam, orang putih, jangan, jangan dan jangan.

Pendek kata, uruskan diri sendiri, jangan sibuk hal orang lain.

Melainkan orang dalam kesusahan dan kesulitan, ringankan tangan dan tulang menolong, buat apa saja yang berbentuk pertolongan kepada orang lain, bantu orang lain beribadah juga. Mudahkan urusan kebajikan orang lain di sini, kita akan dapat pahala yang sama.

Semoga semua amal baik kita diterima Allah.

Rendahkan diri, rendahkan hati, kalau di sini kita masih ke'aku'an, kita masih hebat, kita masih besar, kita gagal.

Sebarkan salam sebanyak-banyaknya, semua orang di Tanah Haram itu orang Islam, dari manapun mereka, mereka tahu menjawab salam kita.

Distributekan riyal kita sebanyak-banyaknya, sedekah, hadiah, derma, wakaf, sebarkan banyak bila poket tebal, sebarkan sikit jika poket nipis. Sebarkan, jangan berkira, sebarkan, sebarkan.

Beli hadiah, minyak wangi, kurma, coklat dan sebarkan di dua Tanah Haram itu, sebarkan.

Demikian sedikit nasihat, semoga sesiapapun yang mendapat hidayah daripada penulisan ini dan mengikut nasihat di dalamnya, Allah ganjari saya kebajikan yang sama juga tanpa mengurangkan pahala si pelaku sedikitpun.

Sekian, wallahu'alam, wassalam.

via arkam@mobile®

Tuesday, May 3, 2011

Catatan Umrah 25

Kita kongsikan pula kaedah mengucup Hajarul Aswad sepertimana dimuzakarah oleh guru saya. Sebagai panduan sahaja, khusus bagi mereka yang belum sampai atau yang dah sampai tapi belum pernah mengucup batu itu secara bersendirian.

Keadaan fizikal kita mesti baik, sihat, jangan ada semput atau asma, sangat bahaya. Badan kita akan ditekan dari semua arah, kita akan semput dada.

Taktik:

Hajar Aswad sangat ramai ingin mengucup pada waktu selepas subuh dan selepas maghrib, kedua ni waktu puncak. Buat beginner elok elak waktu ini.

Paling kurang orang ketika selepas zohor dan selepas asar, waktu terik melimpahi kaabah. Ramai memilih untuk duduk berteduh dan tak sanggup menghadapi terik tersebut.

Waktu tengah malam pula pertengahan ramai, antara 12 tghmalam hingga 330 pagi. Boleh dicuba.

Persediaan:

Beg galas yang kita bincang sebelum ini digalas dan dimasukkan dalam baju bahagian depan. Bukak jam dan aksesori lain, masuk dalam beg yg sama.

Serban elok dibuka dan diikat di pinggang atau di masuk dalam beg tadi.

Seterusnya, minum sekoleh zam-zam mengadap kaabah dan Hajar Aswad itu serta berdoa 'Ya Allah, berikan saya kekuatan dan izin untuk mengucup Hajar Aswad itu'

Teknik:

Kemudian masuk ke arus tawaf, boleh juga ambil lajak dan menghampiri Hajar Aswad melalui Multazam, jangan sakiti orang lain dan jangan menolak.

Bila sampai di tempat pinggir orang mula berasak, doa dalam hati 'Ya Allah, Engkau berikanlah semua orang yang berebut ini mencium Hajar Aswad, berikan saya cium juga Ya Allah'

Kemudian doa terus-terusan 'Allah, mudahkanlah, jangan susahkan', istighfar dan doa Nabi Yunus, ulang-ulang.

Ikut arus masuk ke Hajar Aswad itu dengan orang ramai, jika terpelanting keluar, istighfar dan masuk semula.

Fokus kepada Hajar Aswad sahaja, jangan sakiti orang, jangan menolak orang, jauhkan diri daripada jemaah perempuan yang juga sama naik. Lain pulak yang dicium nanti.

Tolak diri sendiri hingga sampai sebelah tangan ke bingkai perak itu, kemudian capai batu, mungkin keadaan ini ada seorang dua lagi di depan kita.

Kemudian pegang 2-2 tangan kepada bingkai itu, sebaik sahaja orang di depan keluar, minta dia keluar ke arah lain, kalau dia keluar ke arah kita, alamat kita terpelanting semula.

Bila dia keluar, insyaallah Hajar Aswad sudah di depan kita, bismillah, kucup dan berdoa ringkas.

Secukupnya dan keluar dari orang ramai itu, nak buat kuak lentang atau nak buat macam penyanyi konsert silakanlah, jangan susah orang lain sudah.

Kemudian buatla sujud syukur.

Alhamdulillah. Saya berjaya buat dengan kaedah ini.

Wallahu'alam, wassalam.

via arkam@mobile®

Catatan Umrah 24

Sedikit sambungan pasal 'solat di mana saja' ketika di Tanah Suci dalam post yang lepas. Selain itu, kita kena jugak ready solat tanpa alas, tanpa sejadah, hanya beralaskan bumi. Tak kita tanah, tar, tiles, simen dan sebagainya.

Saya kongsikan pula kelengkapan untuk dibawa sama ada ketika bersolat atau mengerjakan umrah di dua Tanah Suci ini sebagai panduan sahaja.

Pakaian paling sesuai ialah pakaian yang paling 'sedia' untuk bersolat. Pakaian bersunnah akan menambah pahala sunat, pakaian lain tiada.

'Paling sedia' maksudnya bila iqamat saja terus boleh masuk saf, tak payah salin kain macam kat RNR tempat kita bagi lelaki dan tak payah menggagau cari telekung bagi wanita.

Tak perlu pakai barang kemas bagi perempuan, cukuplah sekadar jam tangan sahaja. Jam murah pun takpe, tak semestinya Fossil, Rolex atau Guess. Lelaki pun sama. Selain daripada barangan yg disebut di bawah ini elok simpan dalam beg kita di dalam bilik hotel kita yang berkunci, insyaallah selamat. Tapi kalau jam tangan kita brand Omega jangan disimpan atau tertinggal di hotel, baik pakai.

:)

Keduanya dicadangkan beg sandang sebesar 6" kali 8" jenama apa pun takpa, nak beli pasar malam RM15 pun boleh atau nak beli online brand Coach RM1500 pun boleh. Ikut poket sendiri.

;-)

Dalam beg itu cukupla sekadar ada kad alamat hotel, hp, beberapa riyal, tasbih, cermin mata gelap (pasar malam punya pun takpa, tak semestinya branded Guess atau Dior harga ribu-ribu), plastik untuk isi selipar, bekas air 500ml untuk isi air zam-zam. Bekas mineral apa pun takpe, tak semestinya brand yang kena rampas pasal ada DNA tu, eh.

Masuk masjid terus masukkan slipar dalam plastik td dan masuk semuanya dalam beg. Time solat letakkan di depan kita dan solatla dengan aman, bebas daripada kerisauan kehilangan selipar.

Jangan dipakai beg ketika solat kerana bimbang selipar tadi bertapak najis, kelak kita bersolat menanggung najis dan tidak sah.

Manakala ketika tawaf letakkan slipar di tempat paling sesuai dan pakailah beg berkenaan. Pastikan tempat tinggal slipar itu betul2 sebelum mula tawaf.

Beribadatlah dengan aman kerana ibadat dalam aman itu menambah kekhusyukan, insyaallah.

Makin nakal tulisan ini nampaknya, dah nak abis... Terima sajalah.

Itu sahaja, wassalam.

via arkam@mobile®

Monday, May 2, 2011

Catatan Umrah 23

Bersesuaian dengan sabda Rasul SAW satu perbuatan di Tanah Haram Mekah adalah bersamaan seratus ribu perbuatan yang sama di tempat lain.

Bayangkan satu sebutan 'subhanallah' di Mekah adalah sama dengan seratus ribu sebutan yang sama di Bangi, kampung mak kita, contohla.

Satu solat sunat dhuha di Mekah adalah sama dengan seratus kali solat dhuha di tempat lain. Itu bersamaan dengan seratus ribu bahagi tiga ratus enam puluh lima..... Errrrrrr.... Kira sendiri, dalam unit tahun.

Sekali sedekah satu riyal di Haram bersamaan seratus ribu riyal di Airport Jeddah, walaupun dekat.

Begitu juga sekali maki 'kepala hotak hang!' di Mekah adalah seumpama seratus ribu kali 'kepala hotak hang' di tempat lain. Contohla.

Cukupla contoh tu kan?

Datang ke sini dan beramallah, untuk gandaan ibadat yang tak terkira oleh kalkulator.

Jangan lupa amal buruk juga diganda sedemikian, na'uzubillah.

Di Madinah gandaan lima puluh ribu demikian juga di Masjidil Aqsa.

Di masjid Gertak Sanggul takde. Biasa je.

:)

Wallahu'alam, wassalam.

via arkam@mobile®

Catatan Umrah 22

Satu advantage kita ke tanah suci khususnya di Mekah ialah kita akan applykan beberapa ibadat secara berlainan dari tempat kita di Malaysia.

Seperti dalam hal wuduk, mengambil wuduk menggunakan air dari dalam koleh minuman plastik pastinya ramai kita tak pernah lakukan di Malaysia. Tak ada air mengalir dari paip semewah-mewahnya seperti di rumah dan di masjid tempat kita.

Mulai sekarang sesiapa yang hendak ke tanah suci boleh mula praktis mengambil wuduk dengan cara ini, nanti nak pakai bila terbatal wuduk dan ingin mengambil wuduk dari water cooler air zam-zam di Haram.

Satu lagi yang selalunya kita akan terlibat ialah bersolat dalam ruang yang amat sempit. Ini selalu berlaku di Raudhah dan di Hatem, dalam Hijir Ismail. Ruang solat yang sesuai untuk dipraktis ialah sekitar 2 kaki kali 1 kaki. Lipat sejadah tu kepada 2 dan solat dalam ruang tu.

Kita juga perlu bersedia bersolat di mana sahaja, ketika dinihari suhu sejuk sehingga menggigil di Madinah hingga di bawah terik jalanan di Mekah, di ruang jalan kaki, di jalan raya, di tangga, di ramp, di koridor, di atas kapalterbang, tebalkah muka kita jika bersolat di ruang ramai orang seperti di lapangan terbang?, di mana sahaja, bersedia.

Bagi yang bermasalah memasukkan niat dalam takbiratul ihram, kat sini jangan buatlah, buat malu kampung saja. Buangla perangai tu.

Praktis bebanyak supaya niat boleh hadir dalam takbiratul ihram tu di sana, kat sini nak pakai terus.

Khusus buat geng waswasi.

Satu lagi, belajarlah solat jenazah di sana, jangan dah mai sini, pastu balik Malaysia dok heboh habaq kat orang, "Kat sana ada solat special, lepas solat fardhu kami solat jemaah sambil berdiri, 4 kali takbir pastu habis, solat sunat, kat Mekah dan Madinah saja adaaaaa"

Memang bangang!

Wallahu'alam, wassalam.
via arkam@mobile®

Sunday, May 1, 2011

Catatan Umrah 21

Bukti amalan umrah dan haji kita berkaitan dengan Nabi Ibrahim sangat jelas. Manakala bukti Nabi Ibrahim merupakan bapa kepada keturunan nabi-nabi juga jelas.

Kita akui, dan mereka juga akui.

Tetapi dalam 3 agama samawi besar ini, Yahudi, Kristian dan Islam, hanya agama kita mengulang-ulang perbuatan Nabi Ibrahim ini dan perbuatan pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim ini.

Agama kita juga yang mengulang menyebut Nabi Ibrahim dalam setiap akhir solat, sebagai sunat hai'at dalam tasyahud akhir yang kita ucapkan sekurangnya 5 kali setiap hari. Selawat Ibrahimiyyah:

"Ya Allah, selawat atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana selawatMu kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, dan berkatkanlah Muhammad dan keluarga Muhammad sepertimana berkatMu ke atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim"

Kita mendapat ajaran Agama Nabi Ibrahim daripada keturunannya Nabi Muhammad, apabila berselawat kepada Nabi Ibrahim dan 'keluarga' Nabi Ibrahim, kita secara tak langsung berselawat kepada semua Nabi bangsa Israel kerana Nabi bangsa Israel juga adalah 'keluarga' Nabi Ibrahim.

Kitalah selayaknya yang paling hampir dengan salasilah kenabian, menerusi Nabi Muhammad, Nabi Ibrahim dan seluruh keturunan Nabi Israel. Sebab itulah, tiada seorangpun umat Nabi Muhammad menidakkan mana-mana Nabi bangsa Israel.

Selawat Ibrahimiyyah itu tadi, besar sangat ertinya jika kita mendalami.

Bersyukurlah kita berada di laluan, di tarekat Nabi Ibrahim, melalui Nabi Muhammad SAW.

Wallahu'alam, wassalam.
via arkam@mobile®

Saturday, April 30, 2011

Catatan Umrah 20

Falsafah haji dan umrah ini amat penting untuk diambil iktibar bagi mereka yang datang ke sini.

Secara amnya, semua amalan di sini berkait rapat dan terus dengan pengorbanan sebuah keluarga di zaman lalu.

Nabi Ibrahim AS diutuskan Allah sebagai Nabi dan Rasul, berkahwin dengan Siti Sarah tetapi Allah tidak mengurniakan anak hingga Nabi Ibrahim menikah pula dengan jariahnya, Siti Hajar, dengan izin Allah Hajar mengandung dan anak yang lahir dari Hajar dinamai Ismail, juga seorang Nabi.

Manakala dari sebelah Sarah sana kemudian lahir pula seorang anak lelaki dinamai Ishaq, juga seorang Nabi, daripada Ishaq lahir Yaakub yang juga digelar Israel. Nabi Israel.

Daripada Nabi Israel ini lahir semua Nabi selepas itu, dinamakan Bani Israel, anak-anak Israel, anak-anak Nabi Yaakub.

Manakala di sebelah Hajar tadi Ismail menurunkan keturunan Bani Hashim, Abdul Mutallib, Abdullah dan Muhammad, seorang Nabi dan Rasul. Kita pernah tulis hal ini dalam label Lawan Hujah. Silalah baca semula.

Pengorbanan keluarga ini, Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail dijadikan Allah syiar agama ini, agama Nabi Ibrahim, millah Ibrahim Hanif, Muslim, menyerah diri.

Nabi Mulia Muhammad mengajar semula kita semua syariat ini, yang pernah hilang ditelan jahiliyah.
Bila kita melondehkan pakaian dan memakai kain dua keping itu, semua sifat jahat, ego, kedudukan, pangkat, kekayaan, pingat kebesaran, title sewajarnya terlondeh sama.

Dua keping kain itu dalam masa sama mengingatkan kita kain kapan yang bakal baluti kita selepas saja kita mati.

Kemudian kita bertawaf, amalan sejak zaman Nabi Ibrahim as, amalan para Nabi, amalan malaikat di Baitul Makmur.

Kemudian kita bersaei, naik ke Safa dan Marwah mengikuti jejak Hajar berlari ke tempat yang tinggi untuk mencari air dan bantuan di kawasan yang amat tandus. Penat ke sana ke sini akhirnya Hajar akur yang hanya Allah tempat dia sewajarnya bergantung dalam keadaan begitu.

Allah datangkan zam zam dari kaki Ismail yang mulia itu, yang sejak itu telah diminum dan di bawa balik orang dari seluruh dunia setiap hari tapi telaga berkat itu tidak pernah kering. Demikianlah Allah mengkehendaki.

Jika buat haji pula ada amalan melontar dan berkorban, juga berkait terus dengan Nabi Ibrahim dan keluarganya.

Pengorbanan keluarga ini disukai Allah dan diredhainya, maka syariat ini Allah berikan kepada kita sebagai salah satu cara mencari redhanya, melalui Nabi Muhammad SAW.

Baginda mengajarkan kita hal ini, agama Nabi Ibrahim, sungguh besar jasa Nabi SAW terhadap manusia.

Bayangkan jika tiada pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim ini, bagaimana urusan Haji dan Umrah kita sedangkan semuanya berkaitan dengan aktiviti keluarga ini?

Di sebelah keturunan Nabi Yaakub AS tadi, berpecahlah amalan asal agama Nabi Ibrahim ini kepada 2 yang besar, Kristian dan Yahudi.

Mereka tidak akan dapat buat amalan Nabi Ibrahim, moyang Nabi-Nabi mereka juga selagi mereka berada di agama lain selain daripada Islam.

Kita sebagai orang Islam juga janganlah enggan berkorban untuk melakukan amalan agama Nabi Ibrahim ini, yang hanya ada di Tanah Haram.

Datanglah, berkorbanlah. Tinggalkan kesenangan kita di rumah kita, tinggalkan urusan kerja kita buat sementara, keluarkan duit saku dan belanja, sahut cabaran melaksanakan amalan agama Nabi Ibrahim ini.

Kalau kita tak buat pun, berduyun duyun manusia lain sedang buat meninggalkan kita. Allah tidak perlukan amalan kita untuk Dia menjadi kuat. Dia Al Adzim, dia Malikul Mulk, dia sedia Ghaniyun dan Istighna'. Terkaya, Maha Kaya. Belanja kita untuk ke sini tidak akan mengkayakan Allah.

Semuanya untuk diri sendiri, maka datanglah.

Wallahu'alam, wassalam.

via arkam@mobile®

Friday, April 29, 2011

Catatan Umrah 19

Berbanggalah Kaki-Kaki Itu

Berbanggalah wahai kaki-kaki
Yang telah memijak Tanah-Tanah Suci
Di depan Kaabah telah berdiri
Di jalanan Haramain telah sulusuri

Menongkat jasad tegak di Multazam
Berdiri ke Kaabah meminum zam zam
Hajarul Aswad berkuda-kuda menyelam
Di Pancur Emas berdiri bersiram

Berbanggalah wahai kaki-kaki
Bertawaf bersaei berulang kali
Bukan patut meninggi diri
Semua kekuatan Allah yang beri

Di Maqam Rasul berdiri bersaksi
Ber Rasulkan Muhammad, Allah Ilahi
Berehat di Raudhah ketika dinihari
Di tinggal sementara, insyaAllah akan datang lagi

Berbanggalah wahai kaki-kaki
Dipilih hadir diri ke sini
Kepada kaki-kaki yang belum ke mari
Usunglah diri ke sini, sebelum diusung ke perut bumi

Wahai kaki-kaki yang pernah ke sini
Berdoalah semoga semua amal dikabuli
Jika tidak semua usaha tiada erti
Ibadat dibuat seronok sendiri

Ya Allah, Tuhan Maha Kuasa
Sudilah terima kami sebagai hamba
Semua amal soleh dan baik diterima
Amal jahat dan sia-sia pula usah dikira

Robbana tooqabbal minna
Innaka antassami'un 'aliim

Astaghfirullahiladzim

Selamat tinggal Tanah-Tanah Suci
InsyaAllah, kita akan datang lagi.

Wassalam.
via arkam@mobile®

Catatan Umrah 16



Kaabah ini hebat kerana salah satu sebab ialah kita tak jemu memandangnya.

Walaupun binaannya amat ringkas, hanya kiub 4 persegi, tiada kerawang, tiada roman, tiada tiles finish, ruhnyaa menyerap ke hati dan lihatlah waktu mana sekalipun, malam, terik, petang, senja, pagi, tetap nampak cantik.

Inilah binaan paling mulia di dunia, sentuhan Nabi Ibrahim, moyang Nabi Muhammad melalui Nabi Ismail, moyang Nabi Isa, Nabi Musa, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Yusuf, Nabi Yaakub melalui Nabi Ishak.

Allahuakbar.

via arkam@mobile®

Thursday, April 28, 2011

Catatan Umrah 18

Bisnes2 yang tak wajar disupport di Tanah Suci.

Ada beberapa, kalau di Madinah seperti kurang kecuali satu golongan nak menjual minyak wangi 12 botol sedozen dgn harga ratus2, kemudian kalau kita tak nak dia akan turun 50, kendian dia akan turun 30, kendian dia akan tanya berapa nak, kita kata 10 riyal terus dia ok or naik jd 12 atau 15. Harga disyorkan ialah 7 riyal sahaja, jgn tertipu.

Kendian di Mekah, ada Indo yang menawarkan diri untuk 'bantu kita mencium hajar aswad' di dataran kaabah, memang dia cekap dan kuat menyebabkan kita dapat menciumnya tapi kita kena bayar antara 300 hingga 1000 riyal selepas semuanya selesai, janganla tertipu. Dia akan tuntut dan ikut kita ke mana sahaja sampai kita bayar.

Satu lagi ketika tahallul ada jugak org sini yang sewakan gunting, kita nak pakai gunting tu tak sampai seminit tapi nak sewa kepada orang ni tak payahlah, carilah kumpulan yang sedang bertahalul kendian hulurkan kepala, sekali jalan. Tapi pastikan dia tu dah bertahalul sebelum dia menggunting rambut kita.

Kendian say 'syukran'.

Di Jabal Rahmah ada sekumpulan budak2 yang berlakon tak ada tangan untuk jadi pengemis, tak payahla bagi. Tapi pengemis lain yang meminta terpulangla pada budi bicara anda untuk melayan.

Di Arafah ada jurukamera Polaroid offer nak ambil gambar kita dengan unta berhias pun tak payahla layan, amik saja guna henpon kalau takda pinjam member. Jurukamera ni akan snap berulang kali sampai 5 kali untuk satu post kendian charge riyal 20 sekeping, jadilah 100 riyal. Baik beli aiskrim belanja orang.

Di sini kes rempit, ragut, curi, pecah hotel curi barang ni kira takdakla, tu bagusnya hukuman di sini.
Tapi kes me-mark-up over dalam jual beli mmg banyak, sebab keuntungan muamalat ni terpulang kepada ahli muamalat, tanyalah kepada mutawwif anda barang yg anda berkenan nak beli tentang harganya kendian barulah beli.

Kalau dah terlebih anggap sajalah sedekah.

Satu lagi kes yg sgt banyak jadi ialah penukaran slipar. Atau slipar hilanglah mudah cakap.

Anggap saja 'slipar tu dah dihantar ke syurga, nanti ambil balik, aminn'.

Sabar... Sabar... Sabar...

Wallahu'alam.

via arkam@mobile®

Catatan Umrah 17

Antara sebab saya minta datang ke sini ketika usia muda ialah ketika muda akal masih cergas untuk 'menangkap' ilmu berkaitan Haji dan Umrah ini.

Sekali tunjuk ajar daripada Mutawwif sudah memadai untuk bergerak sendiri di Masjidil Haram ini.

Masjid ini amat besar oleh kerana itu mudah sesat. Ia tiada depan belakang seperti masjid lain kerana kaabah berpusat di sini, masjid lain lazimnya ada depan yang mengadap ke kaabah maka mudah dijadikan panduan.

Al Haram ini boleh bersolat di mana sahaja, boleh masuk ke pintu mana sahaja untuk terus solat, tak perlu mencari arah kiblat atau mihrab lagi.

Menjadi kebiasaan kita lihat jemaah sekumpulan akan memakai pakaian seragam dan bergerak dalam pasukan dgn pimpinan seorang mutawwif.

Ada yg pakai safety vest kaler flourescent, ada yang pakai bunga di atas kepala, ada yang memakai tali selempang dan tanda nama ada yang memakai telekung kaler sama, seperti biru, purple, pink, hijau, siap dengan nama dan alamat penuh agensi umrah mereka. Sebab utama? Takut sorang dua daripada mereka tersesat.

"Dan demi negeri ini (Mekah) yang aman damai", At Tiin, ayat 3.

Tak berapa cantik untuk ibadah. Si mutawwif ni akan baca doa dan semua nasyid seperti dalam buku kuat2 dan diikuti oleh jemaah mereka di belakang, memang mengganggu jemaah lain.

Kadang2 beradu suara antara 2 pasukan yang mana lebih kuat.

Tak cantik.

Percayalah, kalau datang dgn usia muda serta fikiran masih cergas, semua itu tidak perlu.

Ibadah sunat (membaca doa) akan jadi haram terus jika menimbulkan gangguan kepada orang lain.

Lawak pun ada, mai la tengok.

Wassalam.

via arkam@mobile®

Catatan Umrah 15

Solat Maghrib di Dataran Kaabah dan maju ke Multazam kali ke 2 alhamdulillah. Sekali lagi imam membaca hujung Surah Al Baqarah. Kemudian solat di Hijir Ismail sebelum ke Rukun Yamani.

Esok kena ulang, ada yang tidak tepat.

Point2 penting di keliling Kaabah perlu dihantar diri ke sana untuk berdoa. Perlu sentiasa ada waspada dalam hati, yang mengabulkan doa ialah Allah, keliling kaabah itu hanya tempat pilihan mustajab doa, seperti di ajar Nabi.

Isyak bersolat di tingkat 3 melihat kaabah ke bawah. Memang sangat hebat kaabah ini. Binaan yang mana Allah suruh kita menghadapnya, bukan menyembahnya.

Perlu bawa diri sendiri ke sini untuk merasainya.

Allahuakbar, wassalam.

via arkam@mobile®

Wednesday, April 27, 2011

Catatan Umrah 14




Ziarah ke Jabal Tsur dan Jabal Rahmah di Padang Arafah. Ustaz ni minta Turki, Eropah, India, gila dia ni.

No comment, no comment.

Wassalam.

via arkam@mobile®

Catatan Umrah 13

Alhamdulillah, hari ini selepas subuh di dataran kaabah saya berpeluang melekap dan mendengar syahdu dan keheningan di Multazam dan berdoa. Tetapi gagal bertahan untuk mengucup hajar aswad kali ke dua dengan usaha seorang diri.

Jelas sekali kejayaan kali pertama dulu kerana berkat ustaz, bukan saya.

Astaghfirullahaladzim.

Bertahan sekira 20 minit, akhirnya mengalah. Banyak faktor yang menolak saya keluar tetapi paling penting, Allah tak izinkan.

Saya anggap saya tidak cukup bersih untuk mengucup sekali lagi batu suci itu.

Wassalam.
via arkam@mobile®

Catatan Umrah 12

Alhamdulillah, subuh ini dapat berjemaah di dataran kaabah di Masjidilharam, yelah kalau kaabah tu Masjidilharamlah, mana ada tempat lain.

Antara tetamu Allah di sini nampaknya ada Ust Akhil Hai dan Mawi serta isteri.

Memang sangat lain suasananya. Bayangkan (kepada yang belum sampai) selama ini kita solat mengadap kiblat di Malaysia, tapi peluang tadi bersolat mengadap kaabah di depan mata. Angkat muka dari tempat sujud sudah nampak, alhamdulillah.

Kaabah sangat tinggi kerohanian yang melekat padanya, sejak zaman Nabi Ibrahim AS sudah manusia bertawaf padanya, masuk ke zaman Nabi Muhammad SAW hingga sekarang, tawaf hanya berhenti ketika banjir dan ketika solat jemaah di Masjidilharam.

Selepas solat sambung semula, insyaallah kekal hingga kiamat.

Tawaf adalah ibadah, kena berwuduk, sebab itu ungkapan 'tawaf kedai', 'tawaf pasar malam', 'tawaf megamall' wajar dihentikan.

Insyaallah sambung, wassalam.
via arkam@mobile®

Catatan Umrah 11

Salah satu sebab dapat mengucup hajarul aswad adalah kerana tenaga muda, dengan izinNya.

Masuk merentasi manusia yang bertawaf kemudian hampir ke penjuru hajar aswad dengan beratus mungkin beribu manusia berebut satu poin kecil yang sama untuk dikucup.

Mereka bukan bersaiz kita, mereka ada tenaga yang kuat dan siku yang tajam, badan yang masam.

Bab siku tajam boleh diblok dan dipotong siku balik, bab masam tu tak tahan, kita pun masam juga tapi masam sendiri boleh bau, masam itu kita tak lalu.

Mereka merempuh dan berasak, cuma kita susah nak jatuh sebab kita dikelilingi manusia lain.

Pakaian mereka pula macam2, jika mereka sedang memakai ihram faham-fahamlah. Jemaah perempuan yang sama naik ada antaranya yang tertanggal tudung, tapi bukan orang kitalah.

Yang nak disebut di sini, tenaga muda. Saya yakin dalam suasana begitu kita tak akan dapat masuk mencelah mengucup hajar aswad ini jika datang ke sini dalam keadaan lemah dan uzur. Selain pastinya pilihan dan izin Allah. Tak dilupakan sedikit 'teknik' dan 'taktik'.

Bersa'ei Safa sejauh 3 kilometer dan Marwah juga menuntut tenaga besar, begitu juga bertawaf yang entah berapa kilometer lagi.

Yang tak menuntut tenaga besar ialah duk di rumah menonton tv ketika usia muda.

Orang muda, yang belum datang, datanglah...

Wallahualam, wassalam.
via arkam@mobile®

Catatan Umrah 10

Alhamdulillah telah disempurnakan satu umrah tepat berakhir jam 1 pagi waktu Mekah pada 16 April 2011.

Masuk melaui pintu Malik Aziz terus menunduk berjalan hingga pinggir tebing sebelum ke dataran kaabah dan mengangkat muka. Tersergam kaabah yang mulia ini di depan mata.

Tak perlu berfikir apa2 air mata pasti mengalir, inilah kiblat yang selama berpuluh tahun di hadapkan muka, berwuduk mengadap kiblat, bersolat mengadap kiblat, menguburkan orang meninggal mengadap kiblat, berdoa mengadap kiblat, tidur mengiring ke kiblat, sekarang, kiblat itu, kaabah ini di depan mata. Mata siapa yang tak akan menangis?

Memandang sahaja kaabah diberikan pahala dan rahmat, kemudian memandang Al Quran dan kemudian memandang wajah ibu bapa.

Bimbingan ustaz telah membantu saya mengucup hajar aswad. Alhamdulillah.

Datanglah sini sendiri dan jamukan mata kita dengan memandang kaabah itu.

Wassalam.
via arkam@mobile®

Tuesday, April 26, 2011

Catatan Umrah 9

Memakai pakaian 2 helai ini memang... Anda boleh bayangkan. Kadang kadang tertutup atas terbuka bawah, tertutup sana terbuka sini.

Pakaian ini menyelitkan banyak cabaran, ditambah pula cabaran larangan dalam berihram.

Kalau kena cara pakainya, memang nampak cantik, kalau pakai belasah akan nampak sebahagian yang patutnya tak boleh didedahkan.

Malu pun ada. Macam baru balik mandi sungai pun ada.

Elok jangan komen, wallahu'alam.

Sekarang dalam perjalanan ke Mekah, jangkaan tiba jam 9 malam waktu Mekah.

Berikanlah saya kekuatan Ya Allah.

Wassalam.
via arkam@mobile®