Ulangkaji menjelang puasa:
Kitab Pada Menyatakan Puasa
(Dan bermula) puasa itu rukun yang keempat daripada segala rukun Islam yang lima telah tersebut dahulunya di dalam hadis dengan ajmal (dan tiada wajib) puasa Ramadhan itu melainkan atas orang yang Islam baligh lagi ber'akal serta kuasa ia atasnya puasa lagi suci daripada haidz dan nifas dan apabila sempurna telah bilangan bulan Sya'ban itu tiga puluh hari atau dilihat akan bulan Ramadhan itu pada malam hari yang ketiga puluh daripada bulan Sya'ban itu oleh seorang yang adil padahal telah tsabit ia pada qadhi maka wajiblah atas puasa umum atas sekelian manusia di bawah perintahnya dan jika tiada tsabit pandangannya pada qadhi maka wajib puasa atas orang yang memandangkan dan membenarkan akan dia saja.
(Faslun) dan bermula segala syarat sah puasa itu enam perkara pertama Islam dan kedua tamayyizun dan ketiga suci daripada haidz dan nifas pada sepanjang harinya dan keempat niat pada malam dan sah niat puasa sunat itu dahulu daripada tergelincir matahari dengan syarat bahawa jangan ada ia mengerjakan barang yang membatalkan puasa dahulu daripadanya tetapi jatuh ia di dalam malam itu terlebih utama dan wajib pada puasa fardzu itu dita'yinkan dia dan jatuhkan dia didalam satu suku daripada malamnya dan yang terlebih utama dijatuhkan dia di dalam thulus yang akhir daripadanya dan kelima tahan diri daripada sekelian yang membatalkan puasa akan dia daripada permulaan fajar sodiq sampai kepada masuk matahari dan keenam masuk waktu atau memperolehkan sebab pada puasa fardzu.
(Faslun) dan bermula segala yang membatalkan bagi puasa itu sepuluh perkara pertama masuk sesuatu ke dalam segala ‘ain dunia dan jikalau sedikit sekalipun ke dalam rongganya dengan disengajakan jika ada masuk ia daripada salah satu daripada segala lubang yang terbuka kepada rongganya dan keduanya muntah yang disengajanya dan jika tiada kembali suatu daripadanya ke dalam rongganya sekalipun dan ketiga jimak dengan disengajanya dan jikalau dengan berlapat dengan yang tebal serta tiada keluar mani daripadanya sekalipun dan keempat keluar mani dengan sengaja …. dan kelima gila dan jikalau ada ia didalam satu yang singkat sekalipun dan keenam pitam sepanjang hari yang daripada fajaq sodiq sampai maghrib dan ketujuh bahawa fathur dahulu daripada tahqiq masuk matahari dengan yaqinnya jika ada ia matahari itu terpandang baginya dan dengan kuat zhon nya jika jika tiada nyata baginya oleh matahati itu dan kedelapan kedatangan murtad pada orang yang puasa dan kita minta lindung daripada Allah daripadanya dan kesembilan kedatangan haidz atau nifas dan kesepuluh beranak yang serta ia dengan basah dan barangsiapa membatalkan puasanya didalam bulan Ramadhan atau lupa ia akan niat pada malamnya maka wajib atasnya imsak yakni tahankan dirinya daripada segala yang membatalkan puasa pada yang tinggal daripada harinya demikian orang yang dinyata baginya tsabit Ramadhan didalam tengahari yang ke tiga puluh daripada bulan Sya’ban.
(Faslun) tiada batal puasa seorang daripada orang yang puasa itu dengan sampai ke dalam rongganya oleh suatu daripada segala benda syurga jikalau disengaja sekalipun dan tiada batal puasanya dengan suatu daripada segala benda dunia ini yang masuk ke dalam rongganya jika sampai ia dengan lupanya dan tiada pula batal puasa itu dengan jimak dan keluar mani yang tiada dengan ikhtiarnya atau dengan lupanya dan tiada pula batal ia dengan tergagah muntah padanya jika tiada kembali daripadanya oleh sesuatu kepada rongganya dan tiada batal ia dengan tertelan potongan balaghahnya jika ada ia dengan tergagah dan tiada pula batal ia dengan bercelak dan berminyak dan jikalau didapatkan akan rasa celak dan minyak itu didalam halqumnya sekalipun dan tiada batal akan dia dengan masuk kedalam rongganya oleh lalat dan nyamuk dan seumpama debu jalan raya dan pengayak tepung dan jikalau membolehkan akan dia bahawa memelihara akan diri daripadanya sekalipun (Dan) tiada batal dengan telan air liur yang suci daripada campuran sesuatu dan tiada pula batal ia terlancur ke dalam rongganya oleh air pagi berkumur-kumur dan air yang di pagi basuh hidung jika tiada ia mubalaghah pada keduanya dan adalah terlancur itu adalah satu daripada yang tiga kali itu dan tiada pula batal puasa dengan tidur dan jikalau ada ia menghabiskan sekalipun harinya sekalipun dan tiada pula batal ia dengan pitam apabila diingatnya di dalam siang hari jika ada ia satu lahzoh sekalipun apabila telah diperolehkan niat di dalam waktunya dan tiada pula batal ia dengan berpetik dan berbekam.
(Shahadan) tiada sah puasa itu di dalam dua hari raya dan tiada pula sah puasa itu sesekali hari tasyriq yang tiga jikalau daripada qadho atau nazar sekalipun dan tiada pula sah puasa pada hari syak dan pada segala hari nisfu yang kedua daripada bulan Sya’ban melainkan jika ada ia puasa padanya daripada fardzu atau kena kebetulan ‘adat baginya atau dihubungkan puasanya dengan puasa satu daripada nisfu yang pertama seperti ia puasa pada hari yang kelimabelas dan haram atas orang puasa itu seumpama cium dan peluk akan isterinya jika berqadar dengan yang demikan itu oleh syahwatnya dan sunat baginya disegera akan berbuka dan takhirkan makan sahur dan sunat pula disegera akan mandi daripada hadas besar dahulu daripada keluar fajar dan sunat keadaan berbuka ia dengan tamar jika ada ia gampang atasnya dan jika tiada maka atasnya sesuatu yang manis jika ada gampang atasnya dan jika tiada maka atas air dan membanyakkan doa padanya istimewa pula pada ketika berbuka dan sunat pula membanyakkan baca quran dan bersedekah dan makruh bagi orang yang puasa itu berpetik dan berbekam dan mamah seumpama laban zikr dan rasa makanan dan mubalaghah pada berkumur-kumur dan masuk air ke hidung dan cium isterinya dan peluk akan dia jika tiada bergerak oleh keduanya oleh syahwat. (Dan Wajib) atas orang yang puasa itu memelihara akan dirinya daripada segala keinginannya dan daripada mengumpat-umpat dan daripada mengadu-ngadu dan daripada tiap-tiap perkataan atau perbuatan yang jahat.
(Faslun) bermula orang yang telah nyanyuk dan orang yang sakit dan tiada diharapkan akan sembuhnya apabila ditinggal oleh keduanya akan puasanya di dalam Ramadhan maka wajib atas tiap-tiap hari yang ditinggalkan itu satu mud makanan daripada yang boleh buat fitrah dan tiada wajib qadho atas keduanya (Dan Wajib) atas segala orang perempuan yang haidz dan pada perempuan yang nifas itu tinggal puasa didalam bulan Ramadhan dan harus bagi orang musafir itu tinggal puasa didalam bulan Ramadhan jika ada perjalanannya itu panjang lagi harus seperti bukan ia perjalanan maksiat dan jikalau ia kuasa atasnya puasa sekalipun dan yang terlebih utama baginya bahawa ia puasa jika tiada hasil baginya oleh musyaqqah dan tiada harus bagi orang yang sakit itu tinggal puasa melainkan jika hasil baginya musyaqqah yang amat sangat dengan puasanya dan harus tinggal puasa itu bagi orang yang bunting dan orang yang memberi susu akan kanak-kanak apabila takut keduanya akan kemudaratan atas diri keduannya atau atas anak keduanya (Dan Wajib) qadho atas segala mereka itu dan apabila luput puasa itu atas seorang dengan tiada ‘uzur maka wajib atasnya qadho atas segera maka apabila luput dengan ‘uzur maka wajib atasnya qadho atas tarakhi yakni terdahulu masanya dan yang terlebih utama padanya disegerakan.
(Faslun) barangsiapa meluputkan akan dia oleh puasa daripada puasa Ramadhan dengan ‘uzur dan mati ia dahulu daripada bahawa boleh ia memberi ia qadhokan akan dia maka tiada wajib atasnya diperdapatkan akan dia maka jika mati ia kemudian daripada bahawa boleh ia qadhokan dia maka memilih walinya antara ia puasa daripadanya atau bahawa ia memberi makanan daripadanya akan satu mud bagi tiap-tiap sehari daripadanya (Dan Barangsiapa) telah melazimkan dia oleh qadho sesuatu daripada puasa bulan Ramadhan dan takhirkan akan dia dengan tiada ‘uzur sehingga datang Ramadhan yang lainnya maka wajib atasnnya serta qadho dikeluarkan akan makanan satu mud bagi tiap-tiap hari daripada makanan yang memadai buat fitrah maka berbilang-bilanglah mud itu dengan berbilang-bilang tahunnya (Dan) demikian jua wajib mud itu serta qadho atas orang yang bunting dan orang yang memberi susu kanak-kanak apabila tinggal puasa keduanya kerana takut atas binasa anak keduanya sahaja (Dan) barangsiapa membatalkan puasa dengan jimak pada siang hari bulan Ramadhan maka wajib dita’zir kan atasnya oleh orang yang memegang hukum jika tsabit yang demikian pada tempat hukumnya dan wajib atasnya bayar kifarah yang besar dan iaitu memerdekakan seorang sahaya yang beriman lagi sejahtera daripada segala ‘aib maka jika tiada memperoleh akan dia maka ia puasa dua bulan berturut-turut maka jika tiada kuasa ia maka wajib ia beri makan enam puluh orang faqir miskin bagi tiap-tiap satu daripada mereka itu satu mud daripada makanan yang ghalib pada negerinya.
Sekian… Wallahu'alam.
Manhaj Salam, halaman 26, 27, 28.
No comments:
Post a Comment