Monday, April 25, 2011

Catatan Umrah 4




Kemuliaan Masjid Nabi di Madinah ini diketahui semua orang, dengan beberapa kalimah Baginda yang disebut ribuan tahun dahulu sahaja telah menggerakkan ekonomi Madinah ini dari masa dulu hingga kiamat.

Arab Saudi tidak perlu berkempen Tahun Melawat Saudi untuk menarik pelancong\penziarah, cukup dengan sabda Nabi mulia itu, Madinah menjadi kota dikunjungi jutaan orang sehari-hari.

Walaupun urusan Haji semuanya di luar Madinah, namun, sebanyak mana yang mengerjakan Haji setiap tahun, sebanyak itulah orang yang mengunjungi Madinah pula, pendek kata, sesiapa yang ke Baitullah, akan tetap hadir ke Madinah walaupun tiada satupun urusan berkaitan Haji di sini.

Sebabnya? Kerana jasad suci Nabi ini, dihadiahkan kepada tanah Madinah yang banyak berjasa kepada perjuangan Baginda. Maka Madinah makmur semakmurnya.

Begitulah kesan tinggalan seorang Nabi, baginda tidak meninggalkan harta kepada kita, Baginda tinggalkan warisan, yang daripada warisan itu, menjadi harta orang ramai pada ketika ini.

Sebut saja semua industri yang halal di dunia ini, semuanya ada di Madinah dan Mekah. Penerbangan, perhotelan, makanan, binaan, perubatan, farmasi, pelancongan, pakaian, ternakan, pertanian, teknologi komunikasi, tukaran mata wang, kenderaan, arkitektur, kejuruteraan, pembungkusan, kiriman, logistik, perbankan, pengangkutan sewa kenderaan, peruncitan, tekstil, mainan, aksesori, Allahuakbar.

Urusan di atas membuka jutaan peluang pekerjaan di 2 Tanah Haram malah seluruh tempat di seluruh dunia.

Pendek kata, Mekah dan Madinah, walaupun berada di Rantau Arab ini, ia menggerakkan ekonomi rantau lain di seluruh dunia!

Benarlah Nabi kita ini pembawa rahmat ke seluruh 'alam, hingga akhir dunia.

Wallahu'alam, wassalam.

via arkam@mobile®

Catatan Umrah 3

Alhamdulillah, diberi kekuatan untuk masuk dan bersolat di Masjid Nabi.

Masuk melalui pintu King Fahd dan terus ke Raudhah, berkesempatan bersolat sunat di depan mihrab di Raudhah sebelum beratur di maqam Rasullullah SAW.

Tunjuk ajar ustaz banyak membantu, terima kasih.

Tangisan pasti mengiringi kepada majoriti penziarah, terutamanya yang kali pertama. Mengenangkan seorang Nabi pemimpin ummah ada di depan mata.

Keadaan berasak2 di sini satu kemestian, dalam pada itu sempat berfikir, dalam seramai itu yang bertemu dan mengucapkan salam kepada Rasullullah, akan camkah Rasullullah kepada kita? Maksud di sini, apa specialnya kita dan ibadah kita hingga kita diingati oleh Nabi mulia ini?

Sabda Nabi "Barangsiapa menziarahiku selepas ketiadaanku, seolah-olah dia menziarahiku ketika aku masih hidup"

Tak mahu kita bertemu insan mulia ini? Yang daripadanya seorang, lahir jutaan manusia yang dibimbingnya melawatnya setiap hari. Yang berselawat kepadanya setiap masa.

Jika tanpa Muhammad, kita tiada harga. Jasa besarnya terhadap dunia dan isinya tiada terbanding.

Allahumma solli 'ala Muhammad, wa 'ala ali Muhammad.

Wallahualam, amin.

Wassalam.

via arkam@mobile®

Catatan Umrah 2

Alhamdulillah,

Sekarang tiba di Hotel Fayroz Shatta, Madinah setelah melalui perjalanan dari Kuala Lumpur bertransit hampir 30jam.

Bermusafir selama itu menuntut kekuatan fizikal, sebab itu perkara seperti ini wajar dilakukan ketika muda. Secara tabiinya, muda lebih kuat.

Umur muda pula subjektif, bergantung kepada kekuatan fizikal selalunya. Kalau umur 30 tapi terbaring setiap hari takkan sama dengan umur 70 tapi masih bersilat dan bergagah-gagahan.

Melihat orang lebih tua bersama-sama dalam perkara ini, terutama dari Pakistan, India dan Bangladesh menimbulkan banyak rasa, mereka ini keluar dengan kelengkapan masak, periuk belanga, ada yang membawa anak, ada yang dari kampung pedalaman, ada yang tak tahu membaca pun, mereka siap berihram untuk menuju Mekkah, dengan penuh semangat, walaupun ada yang terbongkok bongkok akibat terlalu tua.

Di Malaysia kita mewah bekerja, tapi jarak jauh menyelit satu ujian lagi.

Mereka jika mampu ada yang menaiki kapalterbang, ada juga yang sekadar berjalan kaki berbulan bulan, kerana tiada saraan.

Mereka berbuat kapalterbang dan airport seperti kampung mereka, faham-fahamlah... Itu mereka.

Kita? Usahalah menabung dan berangkat datang, doakan saya selamat dan diterima ibadah. Diampun dosa.

Insyaallah akan ke Masjid Nabawi sebentar lagi.

Wallahu'alam, wassalam.
via arkam@mobile®

Catatan Umrah 1

(Prepared Earlier)_12 April 2011.

Ketika menaip ini saya sedang duduk di luar Terminal Jeddah. Jam 1245 tgh malam, menghabiskan pejalanan dari Pulau Pinang, KL, transit di Bahrain dan seterusnya di Jeddah sekarang.

Insyaallah dengan izinNya, saya akan meneruskan perjalanan ke Madinah, sehingga Jumaat sebelum ke Mekah.

Ini perjalanan umrah pertama bagi saya, dan suka saya ingin kongsikan, untuk dijadikan sedikit semangat bagi sesiapa yang masih belum pergi. Malah, semua tulisan berhubung Saya Datang, walaupun dirujuk kepada diri sendiri, saya yakin, itulah yang berlaku dalam kalangan kita.

Ini kerana urusan umrah sering dilihat urusan orang tua2. Memang betul, sebaik menjejak kali di KLIA pagi tadi, golongan ini yang memonopoli.

Ketika sampai di Bahrain sebagai transit. Makin ramai golongan ini. Baru kita akan nampak Islam daripada dunia yang lain.

Kita hanya mengenali Islam dan orang Islam Malaysia, kita yang tak pernah ke perhimpunan orang Islam ini, akan sedar bahawa orang Islam di Malaysia sangat kecil berbanding dari negara lain.

Rakan baru seorang ustaz tahfiz muda membuka mata saya, beliau belajar tahfiz di Pakistan, sekarang boleh berbahasa Pakistan Urdu, Bangladesh, Inggeris, Perancis dan Arab, begitu mudah bagi beliau bercampur dengan orang di sini. Menegur orang dengan selamba, bersembang dan berbicara penuh ramah, seperti di kampung sendiri.

Jangan sangka Bahasa Inggeris penting bagi urusan sebegini, kita silap. Setakat sekarang, bahasa yang penting dalam perjalanan seperti ini ialah Bahasa Urdu Pakistan.

Bukan tulisan ini hendak mempoyokan diri, mintak simpang dan mintak jauh, saya belum pun menjejak kaki di Madinah dan Mekah ketika menulis ini, baru sampai penjuru sini. Masih jauh.

Saya minta ampun daripada Allah jika berniat demikian.

Yang ingin diberitahu, kita di Malaysia tak boleh bersenang senang berkerja dan mengumpul harta sahaja, sedangkan untuk berbelanja ke jalan ini kita mengelat.

Semoga Allah memilih kita untuk menjadi tetamuNya.

Akan bersambung, insyaallah.

via arkam@mobile®

Monday, April 11, 2011

Saya Datang, InsyaAllah.

Ya Allah,

Saya datang

Dengan izinMu



Terimalah saya yang banyak dosa ini

Yang jahil ini

Yang lemah ini



Pelihara saya

Lindungi saya

Cukupkan saya

Mudahkan semua urusan saya

Selamatkan saya

Redhokan saya



Beri saya ampun

Beri saya ikhlas

Beri saya redho



Hapuskan dosa

Tutupkan lemah

Redhokan syurga



Terimalah amalan saya

Hapuskan kejahatan saya



Ikhlaskan saya dalam hidup saya



Allahuakbar



Labbaika, labbaika.



Amin.

via arkam@mobile®