Sunday, May 29, 2011

Hidayah

Nabi yang hebat itu ditugaskan untuk menyampaikan risalah TuhanNya kepada seluruh manusia.

Apa yang Baginda sampaikan di minta kita turut sama sampaikan, sebarkan kepada semua orang, lebih2 lagi kepada mereka di bawah kuasa kita.

Seperti perintah solat, kita disuruh supaya menyuruh ahli keluarga kita mengerjakannya, dan oleh kerana Allah Maha Tahu, Dia selitkan sama suruh kita bersabar atas tugas itu.

Lihat Toha, ayat 132.

Tugas itu perlu dilaksana, tapi semua kekuatan datang daripadaNya, maka selain usaha suruh, usaha berdoa supaya diberi kekuatan dan dipilih juga perlu.

Semua amal kita, yang baik tetap datang dengan pilihan Allah, dengan kekuatan yang Allah pinjamkan.

Kita takkan mampu menunaikan solat subuh 2 rakaat tu, kalau Allah tak pilih kita buat, dan kalau Allah tak bagi kekuatan kita buat.

Ini iqtiqod ahlus sunnah wal jamaah.

Usaha kita dengan lawan nafsu dan gerakkan fizikal amat perlu, tapi pilihan Allah dan kekuatanNya sama penting.

Seperti makan ubat, makan itu ikhtiar, penyembuhan itu Allah yang bagi.

Seperti makan nasi, makan itu ikhtiar, kenyang itu Allah yang bagi.

Tak ada sesiapa boleh bagi hidayah, kita hanya boleh berdoa kekal mendapat hidayah untuk kita dan orang2 yang kita sayang. Selain itu berusaha menguat dan menambah dorongan untuk terus melakukan kebaikan.

Nabi SAW sendiri sejarahnya tidak dapat memberi hidayah kepada Abu Talib, bapa saudaranya, walaupun Abu Talib amat sayang kepada Baginda dan tidak pernah menentang usaha Baginda, malah Abu Talib menyokong dan mempertahankan Baginda Nabi ketika di Mekah, Allah memilihnya pergi bukan dalam agama Islam, wallahu'alam.

Alhamdulillah, secebis lagi maksud qunut kita:

"Wa tawwallani fi man tawwallaid"

"Dan palingkan (kasih) aku (ke arah baik) seperti mereka yang Engkau palingkan (kasih)"

Syukur kepada Allah, jika Dia sedikit sebanyak memalingkan kita kepadaNya. Teruslah kita berdoa untuk terus menerimanya, dan jika kita pergi sebelum semuanya dipalingkan, kita harap Allah terima dan ampunkan.

AllahuAkbar, terima kasih Ya Allah.

Wassalam.

via arkam@mobile®

Saturday, May 28, 2011

Mati

Memang kematian kita boleh berlaku di mana2 dan bila2 masa... Sudah berapa ramai kawan seusia dan seumur kita pergi terlebih dulu malah ada juga yang lebih muda.



Kemalangan, jantung, kanser, mati mengejut, mati sakit lama, sakit tua dan macam2 lagi. Kita kadang2 takut dengan kematian orang lain, sedang benda tu juga akan mengena kita satu hari nanti.



Takut kerana banyak sebab, sebab yang paling utama ialah kita tak tahu keadaan di sana dan kita tidak bersedia untuk ke sana.



Setengah daripada kita tahu bila dia akan mati, sama ada sedang menunggu hukuman mati atau sedang dalam sakit kritikal tiada harapan sembuh.



Kadang2 kita juga terlibat dengan keadaan menakutkan dan rasa macam dah nak mati, seperti ketika dalam pesawat di angkasa.



Bila pesawatt bergoncang kerana awan, kita dah siap2 mengucap, Nabi kata siapa yang akhir nyawanya dengan shahadah akan masuk syurga.



Tapi takut tetap takut!



Kemudian keluar lampu instruct suruh pakai tali pinggang, kita mengucap lagi.



Kemudian kalau terbang malam lampu dalam pesawat tutup, kita mengucap lagi.



Kalau keadaan hujan dan berangin serta kilat di luar lagi kita tambah mengucap.



Kemudian pilot on pulak lampu 'Exit Sign', apahal lak si pilot ni?



Like "Tu tanda keluaq, hangpa readyyyy!!!!"



Kemudian kita mengucap lagi.



Kita berlakon cool tapi Allah saja tau dalam hati ni, haha.



Kemudian, nak landing..., bergegar dari depan ke belakang. Bunyi, gegar, goncang, mengucap lagi...



Waktu ni kalau nahas pun beriman sangat niii... Berapa kali mengucap dah?!



Bila dah selamat semuanya, elok nak turun, kita dah lupa balik.



Lupa balik dah bab mati.



Kita kembali kepada kita yang asal.



Sayalah tu, bukan orang lain.



Wassalam.

via arkam@mobile®

Thursday, May 26, 2011

Mencari Kepercayaan

Biasanya semua agama yang ada di dunia ni akan diasaskan oleh satu konsep pemahaman yang dipanggil 'kepercayaan'.

Makin besar kepercayaan itu maka makin kuat ikatan seseorang itu kepada agamanya.

Bukan mudah untuk melaksanakan sesuatu suruhan jika tiada kepercayaan, kalau kita tak percaya kita akan dapat gaji setiap hujung bulan maka kita susah nak taat suruhan syarikat atau majikan kita bekerja. No mood, kata orang.

Kalau kita tak percaya kita berkebolehan memandu kenderaan maka kita tidak akan sampai ke destinasi, jika kita pemandu itu. Menumpang bolehla.

Lazimnya dalam banyak agama dunia ini, kepercayaan itu sesuatu yg tak dapat dilihat, tak boleh rasa, tak boleh pegang. Cuma ada tanda2nya. Semua itu ikatan dalam hati sahaja.

Kepercayaan ini dalam agama Islam dipanggil keimanan, orang yang beriman adalah orang yang 'percaya' kepada semua rukun iman, semua rukun iman itu pula memang bermula dengan perkataan 'Percaya'.

Semua rukun iman yang bermula dengan perkataan 'percaya' itu pula berada dalam hal keadaan ghaib.

Mempercayai perkara ghaib adalah falsafah dalam banyak agama. Cuma kepercayaan kepada unsur2 dalam perkara ghaib itu yang berbeza mengikut agama.

Walaupun ghaib, ada 2 cara untuk kita mempercayai dan meyakini sesuatu itu. 2 cara ini ada diajar dalam Al Quran.

Contohnya kita diberitahu jiran bahawa ada pencuri dalam rumah kita ketika kita sampai di rumah dari pejabat, maka ada 2 cara untuk percaya dan yakin memang ada pencuri dalam rumah kita ketika itu.

Pertamanya, kita nampak sendiri ada saspek seperti pencuri berlegar2 dalam rumah kita, melalui tingkap, bayang2 atau cctv.

Ini dipanggil yakin dengan mata. 'Ainnal yaqiin'.

Keduanya kita nampak ada kesan orang pecah masuk, dan ada kesan seolah ada pencuri di dalam, tetapi kita masih belum nampak pencuri itu.

Ini dipanggil yakin dengan ilmu, 'ilmal yaqiin'. Ini kerana berdasarkan ilmu kita, harus ada pencuri di dalam.

Dalam hal agama, kita ada 2 pilihan yang sama.

Neraka ada, seksa ada, azab ada, mahsyar ada, sakit ada, pedih ada, mizan ada, sirat ada. Kita boleh tunggu masa untuk lihat semuanya ada nanti, ambil yang 'ainnal yaqiin'.

Atau kita kena yakin di dunia ini dahulu, dengan ilmu yang kita belajar, sebelum jumpa sendiri dengan mata kepala di sana.

Ini 'ilmal yaqiin'.

Kalau kita tak mencari ilmu ini, bolehka datang 'ilmal yaqiin' itu?

Baikla yakin dengan ilmu di sini, janganla berlagak hero nak tengok sendiri jugak untuk datang yakin.

Waktu tu dah terlalu lambat.

Mereka yang berani menghina agama dan nabi-nabi, jika mereka Islampun, mereka sudah murtad serta merta.

Mereka akan tunggu dan lihat dengan mata, mereka pilih 'ainnal yaqiin'.

Berapa lama sangat mereka akan hidup di dunia ini? Sampai seratus tahun lagi?

Takkan sampai.

Na'uzubillah minzalik.

Jangan kita sebarkan dan buka pintu kejahatan, simpan dan tutup semua ruang.

Semoga Allah pelihara kita, keluarga dan seluruh zuriat keturunan kita daripada bala dan penyakit jahil agama. Semoga Allah meletakkan kita semua kekal di atas landasan agamaNya yang Dia redhai...

Kekal hingga Hari Qiamat.

Astaghfirullah hil 'adzim.

Wallahu'alam, wassalam.

via arkam@mobile®

Tuesday, May 24, 2011

Kalau Menguji...

Hari tu di sebuah kampung, saya memandu Kelisa SE. Sampailah saya di sebuah traffic light, eh, kampung ada traffic lights? Kampung you adaaaa?

Bila sampai di traffic light tu, merah, saya berhenti dengan sopannya. Tetiba ada sebuah kereta Honda Accord lama 2.0 modified menstop sebelah saya, dan men-ram-ram kan enjin dia, seolah ajak berlumba... Kelisa yang saya guna itu standard tetapi edisi khas, adala sket bodykit. Dia mungkin ingat saya ni kaki ram dan rempit kereta macam dia, boleh saja di ajak lumbaaaa...

Bila lampu hijau, terus dia memecut laju dan tinggalla saya di belakang terkedek-kedek....

Panas jugak hati, nak juga terus ke kedai VW beli Golf GTi ketika itu juga, dan mengejarnya hingga ke garisan penamat. Biar padan muka dia.

Alhamdulillah saya masih waras ketika itu, bukan waras sebab tak beli Golf GTi tetapi waras sebab tak layan dia merempit.

Pertamanya, kereta Kelisa ni 1.0 saja enjin dia, kereta dia tu pulak 2.0, kan bodoh namanya kita berlumba atau ajak berlumba dengan lawan yang tak sama kategori?

Seolah kita dah umur 30 tahun lebih ni, mengajak anak saudara kita yang berumur 4 tahun bertumbuk kerana tak puas hati dengan sikap nakal dia?

Seolah kita yang berumur 30 tahun lebih ini mengajak Tok Wan kita yang berumur 70 tahun berlumba basikal kerana tak puas hati sebab dulu waktu kita kecik dia kalahkan kita?

Seolah kita yang dah lepas segala macam jenis peperiksaan bertulis mengajak anak kita yang berumur 9 tahun menjawab soalan Matematik SPM, kemudian marah dia sebab tak tahu jawab?

Seolah kita tak pandai langsung pasal zat pemakanan mengajak orang yang ada Masters in Food Technology berdebat pasal bendalah tu?

Kan orang kata "Nak menguji biar sama merahnya, nak mengukur biar sama panjangnya"

Faham? Tak faham kalau, takrifannya ialah "Bukan kategori hang! Jangan jadi bangang!"

Kasaqla sikitttt... :)

Sebut pasal kasaq, di zaman cerita P Ramlee dulu boleh pun dialog kasaq macam ni:

"Bodoh! Kecik-kecik taknak mampus, sudah besar menyusahkan orang...!"
"Bodoh! Baghal!"
"Pemalas! Unta padang pasir pun tak malas macam kau...!"
"Apa yang kau merepek ni Syaitoooooonnnnnnn!!!!!!!"

Dialog ringkas begini menjadi sangat berkesan dan releven berpuluh tahun hingga sekarang.

Berbalik kepada cerita tadi, setelah beberapa minit saya sampai di Plaza Tol..., dan pemandu tadi dengan girangnya beratur mendapatkan tiket transit yang boleh tahan panjangnya...

Saya memotong dan terus masuk Smart Tag..., dengan bangganya.

Aku mungkin tak laju, tapi aku pandai sket daripada hang...!

:-)

Lain kali, kalau takda Smart Tag, janganla berlumba dengan kereta yang lebih kecik..., buat malu sajaaaaaaaaaaaaaaaaaaa......!

Aduh! Macam tu pun adaaaaaaa?

Sekian.


Ir. MUHAMMAD ARKAM
www.arkamonline.com

Kita? Ramai atau Sedikit?

Post yang lepas sudah kita sentuh berhubung kumpulan ramai dan kumpulan sedikit. Rasanya kita dah faham.



Walaupun Al Quran Karim itu diwahyukan lebih seribu empat ratus tahun lalu, ayat2nya mudah dicari misal dan kejadian walaupun pada masa ini.



Tak susah rasanya kita nak menentukan diri kita sendiri di kelompok ramai itu atau di kelompok sedikit, seperti yang Allah sebut dalam ayat2 tersebut.



Ce kita tanya diri kita, ce tanya...



Waktu orang ramai sedang tidur waktu hampir subuh atau masuk subuh sedangkan hanya sedikit yang dah bangun bersedia untuk solat atau baru lepas tahajjud, kita di mana? Kita masuk yang ramai atau kita yang sedikit itu?



Waktu orang ramai di pasar malam time maghrib sedangkan sedikit orang yang sudah sedia untuk jemaah maghrib di masjid surau ketika itu kita di mana?



Ketika orang ramai mengunjungi shopping mall lepas maghrib sedangkan sikit orang mengunjungi masjid surau untuk iktikaf kita di mana pula? Di kelompok ramai atau di kelompok sikit?



Ketika orang ramai-ramai menonton akademi fantasia malam sabtu sedangkan ada sedikit orang keluar mencari ceramah maghrib malam minggu kita pula di mana? Di kelompok ramai atau kelompok sedikit?



Ketika ramai orang keluar mencari hiburan hujung minggu sedangkan sedikit yang meletakkan diri korban masa dalam kuliah tetap mingguan kita di geng mana? Ramai atau sedikit?



Ketika ramai orang di taman perumahan kita sedap menonton tv di rumah sedangkan sedikit yang berusaha keluar untuk bersolat jemaah ketika dengar azan kita pula di mana? Yang ramai atau yang sedikit itu?



Hai, susah juga...



Kena juga diri sendiri...



Sayalah, bukan tuan-tuan.



Wallahu'alam, wassalam.

via arkam@mobile®

Monday, May 23, 2011

Biarlah Kita Yang Sedikit Itu...


Ada kawan-kawan bertanya kenapa tak heboh tambahkan pengikut (follower) blog yang hanya ada tak sampai sepuluh orang itu, kecik sangat, tak sampai ribu-ribu macam orang lain...

Katanya kalau saya mem'follow' blog orang lain lazim mereka akan mem'follow' balas... Maknanya makin ramai yang datang melawat, makin meningkat sambutan dan makin boleh dapat banyak klik untuk iklan seperti Nuffnang dan sebagainya, maka makin bertambah income....

Itu kata mereka.

:)

Pertamanya terima kasih, saya tidak berblog kerana Nuffnang. Kalau sampai peringkat mendapat income, alhamdulillah, kalau tak ada pun tak apa.

Keduanya, mungkin tujuan saya berblog tidak sama dengan orang lain, biarlah orang lain dengan tujuan mereka dan saya dengan tujuan saya... Tujuan saya biar saya saja yang tahu..., lebih baik untuk saya yang lemah ini.

Tidak semua yang banyak itu boleh menjadi kebanggaan, Nabi Sulaiman AS banyak hartanya dan kuasanya tetapi Qarun-Namrud-Firaun juga banyak hartanya dan kuasanya.

Sedang kita berbangga-bangga dengan pengikut yang ramai sekarang sedangkan Tuhan kita memberi ancaman kepada yang banyak, sebaliknya berbangga dengan yang sedikit-sedikit.

Al Quran, Al Mulk:
[23] Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”.

Al Quran, As Shod:
[24] Nabi Daud berkata: ”Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambing-kambingnya; dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai-bagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; sedang mereka amatlah sedikit!” Dan Nabi Daud (setelah berfikir sejurus), mengetahui sebenarnya Kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat).

Al Quran, Saba:
[13] Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu Kami perintahkan): “Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!” Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur.

Al Quran, Al Israa':
[61] Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; maka mereka sujudlah melainkan iblis; ia berkata: “Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?”

[62] Ia berkata lagi: “Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya)”.

Al Quran, Al A'araf:
[3](Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): “Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan”.

Jika kita mendapat pengikut yang banyak sedang kita di taraf ulama', wali, agamawan yang ikhlas maka itu sangat membawa faedah.

Sebaliknya jika kita mendapat pengikut yang ramai itu sedang kita di tahap boleh merosakkan pengikut kita kembali, na'uzubillah min zalik.

Maka dalam keadaan itu elok kita menjadi golongan yang sedikit, mudah-mudahan.

Kita takuti apa yang kita buat dan tulis akan menjadi pembuka jalan kepada orang lain melakukan yang sama jika ia salah.

Kita harapkan apa yang kita buat ke arah yang baik akan membuka jalan kepada orang lain membuat kebaikan, semoga ada ganjaran "subsidi"...

Memang saya sendiri harapkan subsidi itu, apa yang dibuat sekarang jauh daripada cukup untuk menyelamatkan diri sendiri pun.

Semoga kita dihisab dengan hisab yang mudah...

Al Quran, Al Insyiqaq:
[6] Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya) [7] Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, [8] Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan,

Hisab yang mudah itu seperti kita di dunia bila di tahan PDRM kerana pandu laju, tak pakai talipinggang dan pakai handfon ketika memandu:

Polis: Lesen Cik...?! (Nada Pak Polis kan memang camtu?)
Kita: Minta maaf Tuan..., saya nak cepat...
Polis: Nak ke mana?!
Kita: Saya ada presentation, pasal kerja...
Polis: Di mana !?
Kita: Di USM, minta maaf Tuan, saya salah......
Polis: Pegilah...! Jangan laju lagi...!

(Mana dia tau lepas tu kita nak laju lagi ke dak? Belasahhh laaaa)

Hisab yang susah dan berat pulak:

Polis: Lesen Cik...?!
Kita: Minta maaf Tuan..., saya nak cepat...
Polis: Nak ke mana?!
Kita: Saya ada presentation, pasal kerja...
Polis: Di mana !?
Kita: Di USM, minta maaf Tuan, saya salah......
Polis: Presentation apa?!
Kita: Saya ada nak viva tesis ni...
Polis: Viva tu apa?!
Kita: Viva tu presentation projek, saya dah lambat...
Polis: Lambat-lambat jugak, awak bawak laju tahu? Tahu berapa?
Kita: Berapa cik....?
Polis: 160. Tali pinggang tak pakai, pakai handfon lagi, ni berapa banyak kesalahan ni, kalau kompoun semua siap 900 ringgit ni...!
Kita: Minta maafla Tuan...
Polis: Maaf kat saya buat apa?! Saya jalankan tugas!
Kita: ...
Polis: Ni kereta sapa?!
Kita: Kereta saya Tuan..... (muka sedih, sardin semua ada)
Polis: Cermin gelap, tayar nipis, nombor plet kecik, ekzos lori, badan modified, enjin tukar....! Banyak kesalahan awak ni...! Ni haaaaa, tempat duduk belakang punya tali pinggang mana?
Kita: .... (Muka sardin 18 tin)
Polis: Ada player pulak? Minta bekas isi CD...?
Kita: Hah?!
Polis: Ni lagi, CD tiruan pun ada, boleh kena dengan KPDNHEP ni, kesalahan memiliki barang tiruan...!
Kita: Hah!!!
Polis: Keja apa?! Duk kat mana?! Sekolah kat mana?! Anak sapa?! Dah makan ke belum?!

(terus mencari-pandailah hangpa menambah)....

Hisab yang ringan itu amat penting untuk kita doakan sehari-hari... Terutama ketika berwuduk, sambil membasuh tangan kanan hingga ke siku "Ya Allah, hisabkanlah aku dengan hisab yang mudah dan berikan kitabku dari tangan kananku..." dan kemudian ketika membasuh tangan kiri "Ya Allah, jangan lah kau berikan kitab amalku dari tangan kiriku atau belakangku dan jangan Kau berati hisabku"

Takkan ada sesiapa yang boleh membatu kita bila kita dihisab di sana................

Mudah-mudahan, Allah perkenankan, amin.

Wallahu'alam, Wassalam.

Ir. MUHAMMAD ARKAM
www.arkamonline.com

Friday, May 20, 2011

Peneraju Warisan Mutlak

Setelah berbelas tahun, tiba-tiba termenyanyi lagu ini pagi ini, mengalir air mata...



Ir. MUHAMMAD ARKAM
www.arkamonline.com

Wednesday, May 18, 2011

Introduction To Islam



Ir. MUHAMMAD ARKAM
www.arkamonline.com

Recommended Article By Arkam: Terbunuh Kerana Operasi Cegah Maksiat?

Hi arkamonline.com,
Your friend, Arkam, has recommended this article entitled 'Terbunuh Kerana Operasi Cegah Maksiat?' to you.

Here is his/her remark:
N/A

Terbunuh Kerana Operasi Cegah Maksiat?
Posted By admin On May 18, 2011 (12:19 pm) In Fatwa

<p align="center"><strong><font size="3" color="brown">TERBUNUH KERANA OPERASI CEGAH MAKSIAT?</font>...

Article taken from Minda Tajdid - http://drmaza.com/home
URL to article: http://drmaza.com/home/?p=1413

Tuesday, May 17, 2011

Toksahla Layan

Sapa2 ada masa pagi2 channel 708 ada bisness iklan di cermin tv di samping siaran langsung konti radio Hot.FM.



Seperti gambar dilampirkan.



Janganla buang masa layan, kita di minta sms nama dan nama pasangan kemudian kononnya akan keluar perenggan ayat yang ready ada dalam komputer dorang untuk matchkan antara kita dan pasangan.



Semua tu dah computerized, kalau hang letak nama John dan Johnny pun dia akan keluaq ayat2 cinta terprogram dorang, walaupun sama2 laki.



Kalau letak BATU dan KAYU pun sebagai nama pasangan, kat skrin tetap akan keluar seperenggan ayat cinta berhubung Si Batu dan Si Kayu ini.



Pun nak layan?



Eh, pi kejalah.....!

via arkam@mobile®

Mari Kita Hina Benda Itu...!

Ustaz memberitahu orang Islam dilarang menghina, mempersenda, mengolok-olok main, bersifat sakastik dan seumpamanya dengan orang lain, bukan sahaja kepada orang lain sebenarnya, ia turut sama kepada makhluk lain di alam maya ini. Seburuk manapun makhluk, semua itu adalah ciptaan Allah dan tidak Allah ciptakan sesuatu itu dengan sia-sia.

Semua ada guna, semua ada fungsi, batu tepi jalan yang tak berharga dan tak significant tu 24 jam memuji-muji Allah dan bertasbih sentiasa, tak macam kita.

Tapi ada satu benda atau makhluk juga yang boleh kita hina, kita persenda, kita perolok main, kita bersifat sakastik, kita perkena dan kita tipu dia.

Tak jadi salah, malah setiap kali kita perkena dia, kita akan berjaya dan rasa menang sentiasa.

Kalau dengan orang Islam lain bila dia tu makin kaya kita dilarang dengki, maki, iri hati, hasad, kita tak boleh perlekeh dan perleceh, kita patut sama-sama syukur dan anggap itu rezeki dia dan kita tak perlu sakit hati, kita juga digalak cemburu dalam erti kata ingin sampai sama tahap kekayaan dengan orang tadi, tapi jangan berhasad, cemburu dan berusaha sama untuk naik, boleh. Naikkan diri kita sama dengan orang itu, jangan jatuhkan orang itu untuk sama macam kita. Itu dilarang.

Ini kerana setiap mukmin itu bersaudara: Al Quran, Hujuraat,

[10 ] "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

Apabila kita ingin menganggap diri kita beriman (walaupun tak layak-na'uzubillah) maka kita harus anggap semua orang Islam lain juga beriman, maka bila mereka dan kita adalah sama-sama beriman, maka kita adalah saudara. Penaakulan mantiknya sebegitulah.

Bila dia kaya, dia cantik, dia bisness bagus, dia banyak harta, dia ada keluarga lengkap, dia ada ramai peminat, dia hebat, dia pandai, dia ada masters PhD, dia ada mak bapak, dia ada wang banyak, dia ada rumah besar, kereta mahal, dia ada supir dan orang gaji, anak dia pandai, dia pandai mengaji, dia nampaknya sempurna di mata kita......, tetapi kita pulak semua terbalik daripada yang atas tadi tu, maka DIA SAUDARA KITA...., kita tumpang gembira dengan apa yang dia ada....

Baru tak timbul hasad, sebab yang kaya, yang cantik, yang hebat tadi adalah saudara kita juga....

Tak dinafikan ada juga jenis manusia walaupun saudara seibu sebapa seperut sepedal masih dengki hasad iri hati dendam kesumat kepada saudaranya sendiri, maka dia tak la sampai ke tahap pra-saudara tadi, iaitu BERIMAN.

Maka biarlah dia....

Berbalik kepada benda itu yang ustaz kata tadi kita boleh hina dan perlekeh perleceh, pendek kata, kenakan benda itu cukup-cukup, biar dia merana.....!

Jangan bagi muka, jangan kesian belas, mari kenakan dia.....!

Setiap kali dia nak tukar handphone sedangkan handphone kita masih elok-cakap kat dia....: Nak tukar henfon? Bolehhhhhhhh, Boleh Blah!

Setiap kali dia nak makan banyak sedangkan kita sendiri dah overweight-cakap kat dia...: Ko tak reti nak benti makan? Apa kebuloq sangat?

Setiap kali dia nak rehat tidor sedangkan belum solat-cakap kat dia...: Apa ko pikir mampus tu tunggu ko...?!

Setiap kali dia nak kita tambah hutang sedangkan Haji pun kita belum sampai-cakap kat dia....: Ko keja la kalau ko nak hutang banyak2, bayaq sendiri....!

Setiap kali dia nak sambung tido sedangkan waktu solat dah masuk-cakap kat dia...: Lembu pun tau zikir broooo.......

Dia itulah NAFSU kebanyakan daripada kita, (terutama sekali saya)....

Memang susah....., jadi pohonlah kekuatan dan kudrat daripada yang Maha Kuat...., tanpa kekuatan yang Dia pinjamkan itu, kita takkan berdaya.

Wallahu'alam, wassalam.

Ir. MUHAMMAD ARKAM
www.arkamonline.com

Sunday, May 15, 2011

Selamat Hari Guru

Memandang kalender kuda bulan Mei ini banyak antara harinya kita akan jumpa hari istimewa, bermula 1 Mei cuti Hari Buruh, kemudian Hari Hol Pahang, kemudian Hari Ibu, kemudian Hari Guru iaitu hari ini, kemuadian lusa Hari Wesak, lepas tu Hari Cuti Sekolah, Hari Keaamatan, Penang Race Day, eh.

Biasanya, pada Hari XXXX, maka XXXX tu yang akan di raikan. XXXX akan di sanjung, di beri hadiah, di ucapkan sayang, di hargai, di beri layanan kelas tertinggi dan VVIP, di belanja makan, di beri bunga, pendek kata, XXXX akan jadi ikon dan figura paling penting pada setiap hari yang di sebut Hari XXXX itu.

Misal Hari Guru, maka Guru yang akan di raikan, disanjung, dihargai, dan diberi penghargaan tahap tertinggi sepanjang hari itu!

Begitu juga Hari Ibu, Hari Bapa, Hari PIBG, Hari Pahlawan, Hari Bertemu Pelanggan, Hari Malaysia, Hari Tenaga Pengajar dan sebagainya, semua yang mengekor selepas perkataan HARI itu akan di layan dan di hargai serta di raikan se rai-rainya, kebiasaannya oleh penganjur. Biasanya penganjur pula ialah ketua tertinggi dalam jurusan tadi, kalau Hari Guru, maka penganjurnya ialah Guru Besar atau Pengetua sekolah tu, pastinya di kerah pelajar dan budak untuk memeriahkannya. Itu di peringkat sekolah.

Di peringkat negara pastinya Kementerian Pelajaran, sebagai kuasa tertinggi dalam bidang pelajaran di negara ini.

Kalau Hari Pahlawan pulak yang diraikan semua pahlawan dan bekas pahlawan, yang menganjurkannya pulak Kementerian Pertahanan, Kerajaan, biasala tu.

Ada satu Hari lagi, semua kita kena lalui... Hari ini belum tiba, tapi pasti tiba. Kita namakan Hari YYYY.

Hari itu seperti amalan kita sekarang, semua yang termasuk dalam golongan YYYY tadi akan diraikan, diberi hadiah, diberi keselesaan, diberi layanan VIP dan kelas atasan.

Seperti amalan kita hari ini juga, Penganjur Hari YYYY itu ialah Ketua bagi YYYY itu sendiri, hari itu Ketua ini akan memberi layanan paling istimewa kepada YYYY yang selama ini menjalankan tugas YYYY mereka dengan sempurna.

Kalau kita sekarang jaki saja kepada mereka yang dilayan VVIP pada Hari XXXX sedangkan kita hanya memerhati, Hari YYYY ni jugak kita akan jaki sedemikian, cuma masalahnya kita bukan ahli YYYY dan kita takkan mendapat layanan VVIP tadi, kalau kita tidak menjalankan tugas kita sebagai ahli YYYY.

Hari ini kita semua tahu, tapi kita jarang-jarang menghargai.


Nama hari itu ialah HARI AGAMA, Yaumiddeen...

Yaum = Hari, Deen = Agama.

Sepertimana amalan kita meraikan XXXX pada setiap HARI XXXX di dunia, maka ahli AGAMA akan diraikan se rai-rainya di Hari Agama ini.

Hari ini tiada kerajaan, tiada presiden, tiada raja, tiada sultan, tiada kebangsaan, tiada kerajaan, tiada guru, tiada ibu, tiada bapa, tiada pahlawan, tiada PIBG, tiada pelanggan, tiada buruh.

Hari ini HARI AGAMA, yang ada dan diraikan ialah ahli AGAMA.

Selainnya? Na'uzubillah min zalik.

Pengajur Hari Agama pada hari tu ialah Penguasanya, Malik yakni Raja. Maliki Yaummid Deen, Raja pada Hari Agama.

Semoga kita semua termasuk dalam kalangan ahli yang akan di raikan di sana, amin.

Sekarang, kita patut tahu, apa yang patut di utamakan...

Selamat Hari Guru buat semua guru saya, khususnya yang masih mengenal saya sebagai anak murid, walaupun saya tidak menyebut nama setiap satunya di sini, Selamat Hari Guru. Terima kasih atas semua didikan yang diusahakan kepada saya, semoga Allah membalas lebih banyak lagi.

Wallahu'alam, wassalam.

Ir. MUHAMMAD ARKAM
www.arkamonline.com

Wednesday, May 11, 2011

Kuarantin

2 hari berkuarantin membuat endorsan kertas soalan Elektronik Industri IKBN/IKTBN seluruh Malaysia di IKBN Bukit Mertajam Pulau Pinang.



Selamat berjaya kepada sesiapa yang bakal mengambil peperiksaan ini.



(Tunjuk cover sahaja)



Wassalam.

via arkam@mobile®

Friday, May 6, 2011

Pakej UMRAH 2011



Sukacita saya mengesyorkan pakej umrah yang saya ikuti untuk sesiapa yang berminat dan tercenderung untuk melaluinya. Sila klik imej untuk gambar yang lebih besar.

Sila hubungi talian dalam poster berkenaan dan maklumkan sumber maklumat diperolehi daripada blog ini atau nyatakan nama saya sebagai kredit.

Bagi yang ingin mendapatkan penjelasan lanjut boleh terus email kepada saya arkam@engineer.com atau melalui FaceBook saya Arkam Munaaim.

Semoga setiap usaha kita mendorong orang lain ke arah kebaikan mendapat pahala sepunuhnya sama seperti orang yang membuat kebajikan itu.

Terima kasih, wassalam.

Ir. MUHAMMAD ARKAM
www.arkamonline.com

Wednesday, May 4, 2011

Catatan Umrah 27-Akhir.


Bahagian Akhir.

Rasanya cukuplah 26 tulisan berhubung umrah yang saya lalui kali pertama ini. Suka nak diberitahu ini adalah pengalaman peribadi dan mungkin akan berbeza dengan orang lain.

Suka juga nak diberitahu ini untuk panduan dan kongsian sahaja, bukan niat nak menunjuk saya dah pergi umrah orang lain belum, saya berlindung dengan Allah daripada bunga-bunga perasaan begitu.

Ramai lagi rakan saya yang diketahui belum lagi menunaikan fardzu umrah kali pertama, moga tulisan ini akan menjadi pendorong kepada mereka.

Kemudian kita naik taraf ke fardzu haji pula secepat mungkin, insyaAllah.

Saya syorkan buku 'Hikmah Dan Fadhilat Haji, Umrah dan Ziarah' terbitan Darul Nu'man berharga RM 20 karangan Muhammad Zakaria sebagai panduan asas mengerjakan ibadah ini selain kelas teori dan agama yang boleh diperolehi di tempat anda.

Tiada apa yang saya harapkan daripada semua tulisan ini selain menyuka Allah akan ia dan menerima Dia akan segala pekerjaan baik saya di sini manakala pekerjaan sia-sia dan dosa diampun serta tiada dihisab.

Terima kasih kepada semua yang sedang berkorban untuk pengorbanan saya ini yang mana tidak perlulah saya nyatakan setiap satunya. Terima kasih.

Semoga Allah memberi ampun kepada kita dan sentiasa menyinari kita dengan nurNya, dalam redhaNya kepada kita dan dihimpunkan kita semua ke kampung asal-usul moyang kita Nabi Adam AS dan dijauhkan kita semua daripada seksaNya, amin.

Saya kembali ke Malaysia dengan azam akan datang lagi ke dua Tanah Suci ini dengan izinNya seberapa cepat dan seberapa kerap yang boleh sepanjang hayat saya.

Bukalah akaun Tabung Haji dan buat pendaftaran Haji dengan segera, kerana itu jalan utama bagi menunaikan Haji di Malaysia. Kemudian simpanlah sekurang RM100 sebulan dan dalam masa kurang 5 tahun menyimpan kita sudah boleh berumrah. Setiap gandaan simpanan ini akan memendekkan waktu sehingga separuh. Berusahalah.

Saya tinggalkan siri tulisan ini dengan soalan, andainya kita hidup di zaman Rasullullah, agaknya kita akan tergolong dalam golongan mana? Abu Bakar? Abu Talib?, Abu Lahab?

Lepas jawab, tanya balik dalam hati, 'betulkah?'

Sudah terimakah kita akan semua ajaran, anjuran dan arahan Nabi SAW?

Ada lagikah ajaran, anjuran dan arahan Baginda yang masih kita tangguh?

Astaghfirullahil'adzim. Semoga Allah mengampunkan kita semua atas semua kelalaian kita.

Terima kasih semua kerana sudi baca catatan-catatan kosong ini, minta maaf andai ada kelemahan dan kekurangan dalam penerangan saya dalam blog.

Berazamlah untuk membawa diri kita ke Tanah-Tanah Suci itu.

Robbana taqobbal minna
Innaka antassami'un aliim.

Walhamdulillahi Robbil 'Alamin,

Amin Ya Robbal 'Alamiin.

Wallahu'alam, wassalam.

Terima kasih.

TAMAT.

via arkam@mobile®

KDN Kangar 4 Mei 2011

Perkembangan projek KDN Kangar pada 4 Mei 2011, hampir sebulan tidak menjengah....


Petikan berguna hari ini "Don't judge a book by it cover"

Sapa tak paham sudah...!

Ir. MUHAMMAD ARKAM
www.arkamonline.com

UPP Chuping 4 Mei 2011

Visiting engineer for UPP Chuping Perlis 4 May 2011, pictures as below:


Ir. MUHAMMAD ARKAM
www.arkamonline.com

Catatan Umrah 26

Alhamdulillah.

Ilmu dan persediaan kita ke Tanah Suci sedikit sebanyak diperlukan. Tanyalah orang yang mengetahui tentang ibadah ini sedalam-dalamnya, hingga mendapat gambaran sejelas-jelasnya tentang pakej ibadah ini.

Bermula dengan niat, pakaian, pantang larang, tawaf, saei, tahallul, ketahui juga miqat-miqat, sunat-sunatnya, strategi dan teknik, kesilapan awam, perkara membatalkan, perkara tambahan, sejarah dan motif, apatah lagi ibadah asas solat, wuduk, dsb.

Jangan sampai blur sangat "Aku dah abis tawaf ni, nak mula saei di Bukit Safa nak kena naik bas kat mana pulak?" Abissssssss.

Apabila sampai di sini, anggap kita dalam mazhab yang betul, bila lihat orang lain buat ibadah cara yang pelik berbanding mazhab kita, sebutkan dalam hati, 'itu mazhab dia, aku tak tau mazhab dia, dia juga betul'

Tapi kita kena la mendalami dan mengaji mazhab kita sendiri dalam-dalam jugak.

Jangan mendengus, jangan mengecap, jangan menghina, jangan mengeluh, jangan buat muka bosan, jangan menyesal, jangan anggap diri dah pandai semua, orang lain buat semua salah aku saja betul.

Jangan berkasar, jangan pandang orang lain hina, sejelik mana pun perbuatan orang lain di sini, jangan marah, jangan tegur, kalau ada lintasan hati yang jahat2, potong cepat2 dengan istighfar dan berdoa.

Jangan komplen, jangan tinggi suara, jangan bergaduh berebut tempat, jangan utamakan diri sendiri, jangan pikir perut sendiri saja.

Jangan menghina sesiapapun, orang lemah, orang cacat, orang jelik, orang pelik, orang kotor, orang busuk, orang salah, orang kasar, orang besar, orang pendek, orang hitam, orang putih, jangan, jangan dan jangan.

Pendek kata, uruskan diri sendiri, jangan sibuk hal orang lain.

Melainkan orang dalam kesusahan dan kesulitan, ringankan tangan dan tulang menolong, buat apa saja yang berbentuk pertolongan kepada orang lain, bantu orang lain beribadah juga. Mudahkan urusan kebajikan orang lain di sini, kita akan dapat pahala yang sama.

Semoga semua amal baik kita diterima Allah.

Rendahkan diri, rendahkan hati, kalau di sini kita masih ke'aku'an, kita masih hebat, kita masih besar, kita gagal.

Sebarkan salam sebanyak-banyaknya, semua orang di Tanah Haram itu orang Islam, dari manapun mereka, mereka tahu menjawab salam kita.

Distributekan riyal kita sebanyak-banyaknya, sedekah, hadiah, derma, wakaf, sebarkan banyak bila poket tebal, sebarkan sikit jika poket nipis. Sebarkan, jangan berkira, sebarkan, sebarkan.

Beli hadiah, minyak wangi, kurma, coklat dan sebarkan di dua Tanah Haram itu, sebarkan.

Demikian sedikit nasihat, semoga sesiapapun yang mendapat hidayah daripada penulisan ini dan mengikut nasihat di dalamnya, Allah ganjari saya kebajikan yang sama juga tanpa mengurangkan pahala si pelaku sedikitpun.

Sekian, wallahu'alam, wassalam.

via arkam@mobile®

Tuesday, May 3, 2011

Catatan Umrah 25

Kita kongsikan pula kaedah mengucup Hajarul Aswad sepertimana dimuzakarah oleh guru saya. Sebagai panduan sahaja, khusus bagi mereka yang belum sampai atau yang dah sampai tapi belum pernah mengucup batu itu secara bersendirian.

Keadaan fizikal kita mesti baik, sihat, jangan ada semput atau asma, sangat bahaya. Badan kita akan ditekan dari semua arah, kita akan semput dada.

Taktik:

Hajar Aswad sangat ramai ingin mengucup pada waktu selepas subuh dan selepas maghrib, kedua ni waktu puncak. Buat beginner elok elak waktu ini.

Paling kurang orang ketika selepas zohor dan selepas asar, waktu terik melimpahi kaabah. Ramai memilih untuk duduk berteduh dan tak sanggup menghadapi terik tersebut.

Waktu tengah malam pula pertengahan ramai, antara 12 tghmalam hingga 330 pagi. Boleh dicuba.

Persediaan:

Beg galas yang kita bincang sebelum ini digalas dan dimasukkan dalam baju bahagian depan. Bukak jam dan aksesori lain, masuk dalam beg yg sama.

Serban elok dibuka dan diikat di pinggang atau di masuk dalam beg tadi.

Seterusnya, minum sekoleh zam-zam mengadap kaabah dan Hajar Aswad itu serta berdoa 'Ya Allah, berikan saya kekuatan dan izin untuk mengucup Hajar Aswad itu'

Teknik:

Kemudian masuk ke arus tawaf, boleh juga ambil lajak dan menghampiri Hajar Aswad melalui Multazam, jangan sakiti orang lain dan jangan menolak.

Bila sampai di tempat pinggir orang mula berasak, doa dalam hati 'Ya Allah, Engkau berikanlah semua orang yang berebut ini mencium Hajar Aswad, berikan saya cium juga Ya Allah'

Kemudian doa terus-terusan 'Allah, mudahkanlah, jangan susahkan', istighfar dan doa Nabi Yunus, ulang-ulang.

Ikut arus masuk ke Hajar Aswad itu dengan orang ramai, jika terpelanting keluar, istighfar dan masuk semula.

Fokus kepada Hajar Aswad sahaja, jangan sakiti orang, jangan menolak orang, jauhkan diri daripada jemaah perempuan yang juga sama naik. Lain pulak yang dicium nanti.

Tolak diri sendiri hingga sampai sebelah tangan ke bingkai perak itu, kemudian capai batu, mungkin keadaan ini ada seorang dua lagi di depan kita.

Kemudian pegang 2-2 tangan kepada bingkai itu, sebaik sahaja orang di depan keluar, minta dia keluar ke arah lain, kalau dia keluar ke arah kita, alamat kita terpelanting semula.

Bila dia keluar, insyaallah Hajar Aswad sudah di depan kita, bismillah, kucup dan berdoa ringkas.

Secukupnya dan keluar dari orang ramai itu, nak buat kuak lentang atau nak buat macam penyanyi konsert silakanlah, jangan susah orang lain sudah.

Kemudian buatla sujud syukur.

Alhamdulillah. Saya berjaya buat dengan kaedah ini.

Wallahu'alam, wassalam.

via arkam@mobile®

Catatan Umrah 24

Sedikit sambungan pasal 'solat di mana saja' ketika di Tanah Suci dalam post yang lepas. Selain itu, kita kena jugak ready solat tanpa alas, tanpa sejadah, hanya beralaskan bumi. Tak kita tanah, tar, tiles, simen dan sebagainya.

Saya kongsikan pula kelengkapan untuk dibawa sama ada ketika bersolat atau mengerjakan umrah di dua Tanah Suci ini sebagai panduan sahaja.

Pakaian paling sesuai ialah pakaian yang paling 'sedia' untuk bersolat. Pakaian bersunnah akan menambah pahala sunat, pakaian lain tiada.

'Paling sedia' maksudnya bila iqamat saja terus boleh masuk saf, tak payah salin kain macam kat RNR tempat kita bagi lelaki dan tak payah menggagau cari telekung bagi wanita.

Tak perlu pakai barang kemas bagi perempuan, cukuplah sekadar jam tangan sahaja. Jam murah pun takpe, tak semestinya Fossil, Rolex atau Guess. Lelaki pun sama. Selain daripada barangan yg disebut di bawah ini elok simpan dalam beg kita di dalam bilik hotel kita yang berkunci, insyaallah selamat. Tapi kalau jam tangan kita brand Omega jangan disimpan atau tertinggal di hotel, baik pakai.

:)

Keduanya dicadangkan beg sandang sebesar 6" kali 8" jenama apa pun takpa, nak beli pasar malam RM15 pun boleh atau nak beli online brand Coach RM1500 pun boleh. Ikut poket sendiri.

;-)

Dalam beg itu cukupla sekadar ada kad alamat hotel, hp, beberapa riyal, tasbih, cermin mata gelap (pasar malam punya pun takpa, tak semestinya branded Guess atau Dior harga ribu-ribu), plastik untuk isi selipar, bekas air 500ml untuk isi air zam-zam. Bekas mineral apa pun takpe, tak semestinya brand yang kena rampas pasal ada DNA tu, eh.

Masuk masjid terus masukkan slipar dalam plastik td dan masuk semuanya dalam beg. Time solat letakkan di depan kita dan solatla dengan aman, bebas daripada kerisauan kehilangan selipar.

Jangan dipakai beg ketika solat kerana bimbang selipar tadi bertapak najis, kelak kita bersolat menanggung najis dan tidak sah.

Manakala ketika tawaf letakkan slipar di tempat paling sesuai dan pakailah beg berkenaan. Pastikan tempat tinggal slipar itu betul2 sebelum mula tawaf.

Beribadatlah dengan aman kerana ibadat dalam aman itu menambah kekhusyukan, insyaallah.

Makin nakal tulisan ini nampaknya, dah nak abis... Terima sajalah.

Itu sahaja, wassalam.

via arkam@mobile®

Monday, May 2, 2011

Catatan Umrah 23

Bersesuaian dengan sabda Rasul SAW satu perbuatan di Tanah Haram Mekah adalah bersamaan seratus ribu perbuatan yang sama di tempat lain.

Bayangkan satu sebutan 'subhanallah' di Mekah adalah sama dengan seratus ribu sebutan yang sama di Bangi, kampung mak kita, contohla.

Satu solat sunat dhuha di Mekah adalah sama dengan seratus kali solat dhuha di tempat lain. Itu bersamaan dengan seratus ribu bahagi tiga ratus enam puluh lima..... Errrrrrr.... Kira sendiri, dalam unit tahun.

Sekali sedekah satu riyal di Haram bersamaan seratus ribu riyal di Airport Jeddah, walaupun dekat.

Begitu juga sekali maki 'kepala hotak hang!' di Mekah adalah seumpama seratus ribu kali 'kepala hotak hang' di tempat lain. Contohla.

Cukupla contoh tu kan?

Datang ke sini dan beramallah, untuk gandaan ibadat yang tak terkira oleh kalkulator.

Jangan lupa amal buruk juga diganda sedemikian, na'uzubillah.

Di Madinah gandaan lima puluh ribu demikian juga di Masjidil Aqsa.

Di masjid Gertak Sanggul takde. Biasa je.

:)

Wallahu'alam, wassalam.

via arkam@mobile®

Catatan Umrah 22

Satu advantage kita ke tanah suci khususnya di Mekah ialah kita akan applykan beberapa ibadat secara berlainan dari tempat kita di Malaysia.

Seperti dalam hal wuduk, mengambil wuduk menggunakan air dari dalam koleh minuman plastik pastinya ramai kita tak pernah lakukan di Malaysia. Tak ada air mengalir dari paip semewah-mewahnya seperti di rumah dan di masjid tempat kita.

Mulai sekarang sesiapa yang hendak ke tanah suci boleh mula praktis mengambil wuduk dengan cara ini, nanti nak pakai bila terbatal wuduk dan ingin mengambil wuduk dari water cooler air zam-zam di Haram.

Satu lagi yang selalunya kita akan terlibat ialah bersolat dalam ruang yang amat sempit. Ini selalu berlaku di Raudhah dan di Hatem, dalam Hijir Ismail. Ruang solat yang sesuai untuk dipraktis ialah sekitar 2 kaki kali 1 kaki. Lipat sejadah tu kepada 2 dan solat dalam ruang tu.

Kita juga perlu bersedia bersolat di mana sahaja, ketika dinihari suhu sejuk sehingga menggigil di Madinah hingga di bawah terik jalanan di Mekah, di ruang jalan kaki, di jalan raya, di tangga, di ramp, di koridor, di atas kapalterbang, tebalkah muka kita jika bersolat di ruang ramai orang seperti di lapangan terbang?, di mana sahaja, bersedia.

Bagi yang bermasalah memasukkan niat dalam takbiratul ihram, kat sini jangan buatlah, buat malu kampung saja. Buangla perangai tu.

Praktis bebanyak supaya niat boleh hadir dalam takbiratul ihram tu di sana, kat sini nak pakai terus.

Khusus buat geng waswasi.

Satu lagi, belajarlah solat jenazah di sana, jangan dah mai sini, pastu balik Malaysia dok heboh habaq kat orang, "Kat sana ada solat special, lepas solat fardhu kami solat jemaah sambil berdiri, 4 kali takbir pastu habis, solat sunat, kat Mekah dan Madinah saja adaaaaa"

Memang bangang!

Wallahu'alam, wassalam.
via arkam@mobile®

Sunday, May 1, 2011

Catatan Umrah 21

Bukti amalan umrah dan haji kita berkaitan dengan Nabi Ibrahim sangat jelas. Manakala bukti Nabi Ibrahim merupakan bapa kepada keturunan nabi-nabi juga jelas.

Kita akui, dan mereka juga akui.

Tetapi dalam 3 agama samawi besar ini, Yahudi, Kristian dan Islam, hanya agama kita mengulang-ulang perbuatan Nabi Ibrahim ini dan perbuatan pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim ini.

Agama kita juga yang mengulang menyebut Nabi Ibrahim dalam setiap akhir solat, sebagai sunat hai'at dalam tasyahud akhir yang kita ucapkan sekurangnya 5 kali setiap hari. Selawat Ibrahimiyyah:

"Ya Allah, selawat atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana selawatMu kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, dan berkatkanlah Muhammad dan keluarga Muhammad sepertimana berkatMu ke atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim"

Kita mendapat ajaran Agama Nabi Ibrahim daripada keturunannya Nabi Muhammad, apabila berselawat kepada Nabi Ibrahim dan 'keluarga' Nabi Ibrahim, kita secara tak langsung berselawat kepada semua Nabi bangsa Israel kerana Nabi bangsa Israel juga adalah 'keluarga' Nabi Ibrahim.

Kitalah selayaknya yang paling hampir dengan salasilah kenabian, menerusi Nabi Muhammad, Nabi Ibrahim dan seluruh keturunan Nabi Israel. Sebab itulah, tiada seorangpun umat Nabi Muhammad menidakkan mana-mana Nabi bangsa Israel.

Selawat Ibrahimiyyah itu tadi, besar sangat ertinya jika kita mendalami.

Bersyukurlah kita berada di laluan, di tarekat Nabi Ibrahim, melalui Nabi Muhammad SAW.

Wallahu'alam, wassalam.
via arkam@mobile®