Saturday, April 14, 2012

Easter Day Astro 555: Bahagian 3

Pendedahan mereka tentang penemuan beberapa dokumen abad 1 dan 2 yang seakan-akan Bible di pinggir Sungai Nil di Mesir dalam satu tempayan pada 1940-an yang tertanam menjelaskan beberapa maksud.

Setengahnya menyifatkan antara kandungan dalam dukumen itu perlu ada dalam kitab mereka pada masa ini. Maksudnya, kandungan kitab masa kini tidak begitu komprehensif dan masih boleh diperbaiki.

Sebahagian yang lain menyifatkan dokumen tersebut yang ditulis dalam bahasa Mesir Purba lebih dekat dengan bahasa asal Bible, sedangkan pada masa ini Bible ditulis dalam pelbagai bahasa, melalui pelbagai peringkat kesarjanaan penulisan.

Hakikatnya, kandungan sekarang sudah tidak MURNI. Tidak ASAL. BUKAN dalam bahasa asal ia diturunkan.

Al Quran diturunkan dalam Bahasa Arab, kepada Nabi Bangsa Arab, bermula di Tanah Arab, dan tersebar ke seluruh dunia dalam Bahasa Arab juga, hingga sekarang. Wajib bagi orang Islam membaca Al Quran dalam Bahasa Arab sahaja. Wajib belajar untuk baca, walaupun tak faham maksud. Baca, tetap ARAB.

Jauh bezanya.

Lagi sebutan Al Quran terhadap Nabi Isa AS, kita petik dari Surah An Nisa', TERJEMAHANNYA;

[157] Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah”. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang – salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin.

[163] Sungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur.

[171] Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga”. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).
Sejauh ini, hati kita sudah boleh memastikan.

Wallahu'alam, wassalam.


Ir. MUHAMMAD ARKAM
www.arkamonline.com

No comments:

Post a Comment