Wednesday, March 30, 2011

Poco Poco

Melihat isu tarian yang dibahaskan oleh dua agamawan terkenal di negara ini mendetikkan keinginan untuk menulis sama. Bukan sampai taraf saya untuk menulis dan berfatwa setanding tokoh-tokoh tersebut, cuma saya sampaikan dari mata pandang seorang awam yang mendapat pendidikan agama sekadar di sekolah berbelas tahun dulu sahaja.

Pertamanya, walaupun kedua mereka mengeluarkan pendapat yang bercanggah, tetapi perlu diingatkan pendapat mereka dalam perkara ini hanyalah perkara cabang, perkara ranting dalam kehidupan seharian. Walaupun latar belakang mereka berbeza, perkara pokok dalam agama saya yakin disepakati kedua mereka tanpa berbelah bagi.

Kalau ditanya kepada mereka tentang aqidah, tentang Allah, mereka akan menjawab dengan fakta yang sama, keduanya akan mengaku Allah Tuhan Yang Satu, walaupun yang seorang mengajar 99 Nama-Nama Allah dan 20 Sifatullah manakala seorang lagi tidak mengajar sedemikian, tetapi keduanya akan menjawab Allah itu Tuhan Ar Rahmaan, Ar Rahiim, Maha Pemurah, Maha Penyayang dan sebagainya.

Seorang daripada mereka akan mengata Allah itu Wujud Qidam Baqa' dan seterusnya, sorang lagi juga akan mengatakan demikian, walaupun seorang mereka mengamalkan tahlil dan yaasin pada malam Jumaat dan seorang lagi berbuat dengan cara yang lain. Walaupun seorang mereka membaca doa Qunut pada subuh setiap pagi dan seorang lagi tidak berbuat demikian.

Ringkasnya, dalam soal Aqidah, keduanya sependapat, dalam hal yang muhkamaat dalam Al Quran, semuanya sependapat, dalam hal yang bersumberkan hadis sahih, keduanya sependapat.

Saya juga yakin, kerana mereka 2 tokoh agamawan yang sering mengeluarkan pendapat kerana populariti mereka masing-masing, keduanya tidak menyimpan dendam dan memperlekehkan satu sama lain, mereka sama-sama hebat, sama-sama berilmu.

Yang selalu jadi masalah adalah kepada para PENGIKUT mereka. Pengikut inilah yang selalunya menimbulkan rasa kurang senang dengan pengikut sebahagian yang lain.

Pengikut ini cenderung untuk membenarkan kumpulan mereka sahaja dan menyalahkan kumpulan yang lain.

Pengikut ini jugaklah yang memulakan elemen pecah memecah, kondem mengondem dan pulau memulau.

Apakah salahnya jika kedua pendapat ini dihalusi masing-masing pengikut, dan terima kedua-duanya.

Bila sampai bab mempraktik, gunakan akal dan common sense, gunakan budi bicara dan mengutamakan kepentingan ramai.

Bila berlaku selisih pendapat begini, bukankah pengikut yang untung? Kerana mendapat 2 ilmu, bukan satu sahaja.

Poco pocolah dalam bilik sorang-sorang sebagai senaman, mengambil pendapat seorang daripada mereka, janganlah poco-poco ketika orang tengah suspen mengejar hantu di atas bumbung, mengambil pendapat yang sorang lagi.

Cerdiklah sikittttt.....

Wallahu'alam.

Ir. MUHAMMAD ARKAM
www.arkamonline.com

No comments:

Post a Comment