Wednesday, August 15, 2012

Salam Lebaran

Adat hidup seorang manusia pasti berbuat salah. Salah yang selalunya kepada Allah Tuhannya atau kepada sesama manusia.

Besarlah rahmat agama ini memberi peluang kepada setiap penganutnya setahun sekali untuk "reset" atau "normalized" diri, menyifarkan semua salah dan silap kepada Tuhannya dan juga kepada rakan manusianya.

Ruangan Ramadhan yang hadir sebulan setiap tahun bak satu proses "pembaikan" untuk meneutralkan dosa manusia dengan Tuhan. Keadaan ini hanya wujud dalam agama Islam sebagai agama fitrah manusia bawaan Nabi2 utusan Allah. Sepanjang sebulan ini amal digandakan pahala justeru mempercepatkan pengumpulan pahala di samping rahmat Allah yang melimpah untuk manusia mendapat kekuatan dalam merebut tawaran ini.

Bulan ini dibelenggu semua anasir jahat daripada iblis dan syaitan supaya manusia dapat menumpukan usaha meminta keampunan daripada Allah Tuhannya tanpa dibisik diganggu oleh kuasa jahat ini. Mana2 kejahatan yang masih ada pada diri seseorang kita itu pada bulan ini pulak adalah kesan "pendidikan" kita dengan kuasa jahat yang terlepas belenggu itu pulak sepanjang 11 bulan lain. Janganlah sampai ia sebati dengan kita.

Sebulan ini kita diberikan satu ibadah yang menjadi amalan orang2 soleh dan solehah sejak adanya manusia di bumi ini. Malah inilah amalan Maryam binti Imran sebaik sahaja melahirkan Nabi Isa lebih 2 ribu tahun dahulu.

Amalan ini menjadi syarat wajib untuk membolehkan diperturunkan satu khazanah kalam Allah pada peristiwa di Gua Hira' lebih kurang 1400 tahun lepas. Begitu mulia amalan ini yang kerananya barulah layak kalam Allah yang suci itu sampai ke langit dunia.

Tidaklah hairan ini amalan besar, dibuat dalam bulan besar, sebagai hadiah kepada hamba-hambaNya yang berserah diri.

Pada malamnya pula kita disunatkan mengerjakan solat selepas Isyak. Kita tahu dalam peristiwa Israk dan Mikraj amalan itu diberikan kepada Nabi Terakhir, asalnya 50 waktu dan setelah dinasihati Nabi Musa, Nabi Muhammad mendapatkan perkenan untuk disyariatkan kepada umatnya 5 waktu sahaja. Amalan itu juga menjadi amalan orang2 soleh dan solehah pada zaman dahulu menjadi kewajipan pada zaman ini.

Kedua2 amalan inilah yang menjadi saksi penyerahan diri seorang hamba kepada Tuhannya. Dikerjakan untuk mendapatkan redhaNya. Jika kedua-duanya dikerjakan dengan bersungguh2 di samping semua amal baik yang lain, kemudian kita hadir memohon ampun dan taubat, semoga Allah ampunkan kita dan membebaskan kita dari nerakaNya. Amin.

Maka selesailah untuk tahun itu satu masalah besar, dosa kita dengan Tuhan kita dan diberi peluang mengambil keampunan sepanjang satu bulan.

Akhir bulan tersebut, akan datang pulak satu hari, hari yang semua manusia tak segan silu untuk meminta maaf kepada manusia lain. Ini sudah menjadi amalan beribu tahun.

Maka, dengan keampunan sebulan itu, dan kemaafan sehari itu, sewajarnya kita sempat meneutralisasi, mereset dosa kita kepada Tuhan kita dan kepada sesama manusia, maka jadilah kita manusia yang diredai Tuhan kita dan disukai manusia lain.

Dengan cara itu insyaallah kita boleh selamat.

Besar sungguh jasa bulan ini. Terima kasih kerana masih ada nyawa untuk melaluinya tahun ini. Kita pasti tidak boleh menjamin peluang yang sama di tahun depan.

Sayugia saya memohon ampun daripada Allah Subhanahuwata'ala atas semua dosa yang banyak itu, dan ingin memohon maaf zahir dan batin atas semua salah silap saya kepada tuan-tuan semua.

Allahumma innaka 'afu'ul kareem, tu hibbu 'afwa, fa'fu'anni.

Taqabballah, minna, wa min kum.

Amin,

Salam Aidilfitri, minal aidil wal faizin.

Wassalam.

via arkam@mobile®

No comments:

Post a Comment