Tuesday, August 7, 2012

Surau dan Budak

Antara yang meramaikan surau dan masjid di sepanjang bulan Ramadhan ini adalah kanak-kanaknya.
Waktu malam mereka hadir berterawih. Sama ada dengan ibu bapa atau yang dah pandai sikit dengan kawan-kawan. Dalam poket ada macam-macam nak di main di sana. Kita pun dulu macam tu jugak.

Solat sekejap Isyak lepas tu hilang terus main di luar. Kalau masjid yang luas siap boleh main polis sentri, ataupun sembunyi-sembunyi dalam masjid atau di luar masjid, yang paling terer sembunyi di menara masjid (aku la tu dulu), depa tak pernah jumpa! Terer kan?

Kalau di luar ada pokok buah lagi bagus, mempelam ka, rambutan ka, ciku ka, kalau kena musim buah lagi meriah. Memang menjadi mangsalah. Balik siap boleh bagi mak.

Satu  lagi kalau sudah dapat mercun, lagi bagus. Banyak eksperimen boleh dibuat.

Timing kena jaga, bila sudah hampir witir tu, terus pi amik wuduk lagi dan ready masuk saf. Tu la keja masa budak-budak dulu. Habis solat muka-muka yang beriman ini sudah ready di moreh pulak.

Itu antara seronoknya menjadi budak. Orang tua pun dah tak kuasa nak layan. Itu dulu. Disuruhnya diam, diamla kejap, lepas tu memasar semula.

Budak eloklah dibiarkan dengan budaknya. Kalau di dalam surau membuat bising, serapkan mereka dalam saf orang dewasa. Ia lebih berkesan daripada membiarkan budak di saf budak-budak di belakang.

Budak dah sama-sama dengan budak-budak, kita dulu pun pernah jadi budak. Kita pun tahu....

Mereka akan membudakkan diri selagi mereka belum dewasa. Itu budak.

Ada jugak orang tua yang melupai masa budak mereka dulu. Dimarahnya dibengkengnya budak zaman sekarang kerana bising di dalam surau, hasilnya budak lari main di luar surau. Itu takpa, yang menjadi apanya, pakcik bengkeng ini akan di 'mark' oleh budak-budak ini kerana bengkengnya. Sampai tua budak tu akan ingat. Dan budak tadi akan lebih seronok bila ke surau jangan masuk surau, baik duk di luar kerana pakcik bengkeng tu ada.

Kita rugi sorang budak yang datang ke surau. Silap-silap mereka akan makin menjauh. Lepas tu kita bising sana sini kata orang tak suka pegi surau. Ke situ pulak?

Kata pakcik tua ini "ganggu orang bersolat, tak khusyuk, budak-budak bising."

Memang betul bising budak tu menjejaskan khusyuk. Tapi kalau diam solat kita tu, khusyuk kah kita?

Sekejap ingat selipar, ingat kuih talam kat rumah belum habis, ingat koteaw kerang kita belum sentuh, ingat moreh apa malam ni, ingat moto parking kat mana, ingat bila bonus nak masuk siap dah berangan nak shooping, ingat esok nak sahur apa, esok nak buat apa, duit raya baru dah tukar belum, apasal sampai sekarang aku belum dapat kad raya lagi?

Kita pun sebenarnya, 'keluar masuk' dalam solat, macam budak-budak tu jugak.

Cuma, budak-budak tu keluar masuk surau kita nampak mereka "keluar masuk". Kita keluar masuk solat tak ada sapa nampak.

Kita-kita saja....

Wallahu'alam, wassalam.


Ir. MUHAMMAD ARKAM
www.arkamonline.com

No comments:

Post a Comment