Tuesday, January 4, 2011

Rezeki Anak

Semalam berbual lama dengan rakan lama UTM yang dikenali lebih 15 tahun lalu, akhirnya sampai ke topik bilangan anak dan dia menyatakan bahawa belum ada rezeki menimang anak walaupun telah berkahwin lebih 5 tahun.

Pelbagai usaha telah dibuat dan nampaknya masih belum berhasil, saya minta dia terus berusaha dalam masa yang sama berdoa dan berharap, berserah diri dan bersangka baik.

Kuasa Allah boleh ditunjukkan dalam masa sangat singkat, bukan baru perkara ini, sudah zaman berzaman. Nabi Isa boleh juga dilahirkan tanpa seorang bapa, Nabi Yahya dilahirkan pada usia bapanya Nabi Zakaria dan isterinya telah lanjut, dan isterinya mandul pula.

Hal ini sangat mudah bagi Allah yang Maha Kuasa. Terjemahan Al Quran, Ali-Imran:

[38] Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:” Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan”.

[39] Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): “Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh”.

[40] Nabi Zakaria berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?”, Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya”.

Berusahalah dengan segenap cara, ikhtiar dengan bersungguh-sungguh, insyaAllah akan diberikan kejayaan. Betapa lemahnya kita manusia, secekap manapun seorang doktor, kita hanya boleh berikhtiar, cuba lihat cabaran Allah dalam Al Quran, Al Waqiah:

[58] (Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)?

[59] Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya?

[60] Kamilah yang menentukan (dan menetapkan masa) kematian (tiap-tiap seorang) di antara kamu, dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan;

[61] (Bahkan Kami berkuasa) menggantikan (kamu dengan) orang-orang yang serupa kamu (tetapi tidak seperti bawaan kamu), dan berkuasa menciptakan kamu dalam bentuk kejadian yang kamu tidak mengetahuinya.

[62] Dan demi sesungguhnya, kamu telah sedia mengetahui tentang ciptaan diri kamu kali pertama, maka ada baiknya kalau kamu mengambil ingatan (bahawa Allah yang telah menciptakan kamu dari tiada kepada ada, berkuasa membangkitkan kamu hidup semula pada hari akhirat kelak).

Jika semua usaha telah dibuat, tetapi masih tidak berhasil hingga akhir hayat, percayalah, itulah yang terbaik ditakdirkan kepada kita. Ada hikmah dan ada kebaikan kepada kita dan orang lain.

Wallahu'alam.

Ir. MUHAMMAD ARKAM
www.arkamonline.com

No comments:

Post a Comment