Monday, December 27, 2010

Masa

Menonton bolasepak Malaysia-Indonesia Piala Suzuki Ahad lalu di TV menimbulkan rasa bangga dan puas hati dengan mutu permainan pasukan Malaysia dan mutu pengadilan yang ditonjolkan.

Sebelum ini pasukan negara memang dilihat lesu dan tak berdaya juang, tahniah kepada semua yang terlibat dalam membentuk pasukan muda ini menaiki tangga kejayaan sekurang-kurangnya pada masa ini.

Satu benda yang penting dalam permainan bolasepak ialah MASA. Jaringan hanya akan dikira jika gol berjaya disumbat dengan kaedah yang sah dalam MASA yang ditetapkan.

Selepas tamat tempoh permainan dengan tiupan wisel penamat pengadil, maka sebarang jaringan tidak lagi diambilkira, kita lihat ini hari-hari tapi gagal mengaitkan dengan kehidupan kita.

Kita juga diberi masa, sejak lahir, kemudian mumayyiz, kemudian mukallaf, maka selepas sampai akal, akil baligh semua urusan kita mula dikira. Hingga nafas terakhir.

Seperti dalam permainan bolasepak tak guna langsung pemain memasukkan bola ke gol lawan selepas wisel penamat, tak kira seminit selepas atau sesaat selepas, apatah lagi sebulan selepas.

Yang berguna ialah semasa permainan.

Teringat kita pada ayat pagi Jumaat:

[11] Katakanlah (wahai Muhammad); “Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)”. [12] Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”. (As-Sajdah)

Selamat berjuang pada Final ke-2 Rabu nanti untuk pasukan Malaysia, strategi penting, kalau bolos sebiji mari turun ramai-ramai jaga gol, tukar pemain striker dengan defender, pastu letak 3 orang penjaga gol...!

Boleh?

Malaysia Boleh...!

Wallahu'alam.



Ir. MUHAMMAD ARKAM
http://www.arkamonline.com/

No comments:

Post a Comment