Saturday, April 30, 2011

Catatan Umrah 20

Falsafah haji dan umrah ini amat penting untuk diambil iktibar bagi mereka yang datang ke sini.

Secara amnya, semua amalan di sini berkait rapat dan terus dengan pengorbanan sebuah keluarga di zaman lalu.

Nabi Ibrahim AS diutuskan Allah sebagai Nabi dan Rasul, berkahwin dengan Siti Sarah tetapi Allah tidak mengurniakan anak hingga Nabi Ibrahim menikah pula dengan jariahnya, Siti Hajar, dengan izin Allah Hajar mengandung dan anak yang lahir dari Hajar dinamai Ismail, juga seorang Nabi.

Manakala dari sebelah Sarah sana kemudian lahir pula seorang anak lelaki dinamai Ishaq, juga seorang Nabi, daripada Ishaq lahir Yaakub yang juga digelar Israel. Nabi Israel.

Daripada Nabi Israel ini lahir semua Nabi selepas itu, dinamakan Bani Israel, anak-anak Israel, anak-anak Nabi Yaakub.

Manakala di sebelah Hajar tadi Ismail menurunkan keturunan Bani Hashim, Abdul Mutallib, Abdullah dan Muhammad, seorang Nabi dan Rasul. Kita pernah tulis hal ini dalam label Lawan Hujah. Silalah baca semula.

Pengorbanan keluarga ini, Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail dijadikan Allah syiar agama ini, agama Nabi Ibrahim, millah Ibrahim Hanif, Muslim, menyerah diri.

Nabi Mulia Muhammad mengajar semula kita semua syariat ini, yang pernah hilang ditelan jahiliyah.
Bila kita melondehkan pakaian dan memakai kain dua keping itu, semua sifat jahat, ego, kedudukan, pangkat, kekayaan, pingat kebesaran, title sewajarnya terlondeh sama.

Dua keping kain itu dalam masa sama mengingatkan kita kain kapan yang bakal baluti kita selepas saja kita mati.

Kemudian kita bertawaf, amalan sejak zaman Nabi Ibrahim as, amalan para Nabi, amalan malaikat di Baitul Makmur.

Kemudian kita bersaei, naik ke Safa dan Marwah mengikuti jejak Hajar berlari ke tempat yang tinggi untuk mencari air dan bantuan di kawasan yang amat tandus. Penat ke sana ke sini akhirnya Hajar akur yang hanya Allah tempat dia sewajarnya bergantung dalam keadaan begitu.

Allah datangkan zam zam dari kaki Ismail yang mulia itu, yang sejak itu telah diminum dan di bawa balik orang dari seluruh dunia setiap hari tapi telaga berkat itu tidak pernah kering. Demikianlah Allah mengkehendaki.

Jika buat haji pula ada amalan melontar dan berkorban, juga berkait terus dengan Nabi Ibrahim dan keluarganya.

Pengorbanan keluarga ini disukai Allah dan diredhainya, maka syariat ini Allah berikan kepada kita sebagai salah satu cara mencari redhanya, melalui Nabi Muhammad SAW.

Baginda mengajarkan kita hal ini, agama Nabi Ibrahim, sungguh besar jasa Nabi SAW terhadap manusia.

Bayangkan jika tiada pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim ini, bagaimana urusan Haji dan Umrah kita sedangkan semuanya berkaitan dengan aktiviti keluarga ini?

Di sebelah keturunan Nabi Yaakub AS tadi, berpecahlah amalan asal agama Nabi Ibrahim ini kepada 2 yang besar, Kristian dan Yahudi.

Mereka tidak akan dapat buat amalan Nabi Ibrahim, moyang Nabi-Nabi mereka juga selagi mereka berada di agama lain selain daripada Islam.

Kita sebagai orang Islam juga janganlah enggan berkorban untuk melakukan amalan agama Nabi Ibrahim ini, yang hanya ada di Tanah Haram.

Datanglah, berkorbanlah. Tinggalkan kesenangan kita di rumah kita, tinggalkan urusan kerja kita buat sementara, keluarkan duit saku dan belanja, sahut cabaran melaksanakan amalan agama Nabi Ibrahim ini.

Kalau kita tak buat pun, berduyun duyun manusia lain sedang buat meninggalkan kita. Allah tidak perlukan amalan kita untuk Dia menjadi kuat. Dia Al Adzim, dia Malikul Mulk, dia sedia Ghaniyun dan Istighna'. Terkaya, Maha Kaya. Belanja kita untuk ke sini tidak akan mengkayakan Allah.

Semuanya untuk diri sendiri, maka datanglah.

Wallahu'alam, wassalam.

via arkam@mobile®

No comments:

Post a Comment